Tuesday, April 5, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 25-26) Kuliah 26- Mawaddah, Hijrah Nabi Ibrahim

1.0]  Sorotan kuliah minggu lepas tentang penjelasan ayat 25 Surah al Ankabut.


Punca atau penyebab utama kaum Nabi Ibrahim as tetap menolak ajaran Nabi Ibrahim as adalah bukan kerana mereka kekurangan bukti, bukan kerana kegagalan Nabi Ibrahim  as menyampaikan hujah, tetapi penolakan mereka semata-mata kerana mawaddah baina hum (perasaan berkasih-sayang antara mereka). Subhanallah, Na`uzubillah. Terkadang mawaddah antara mereka, yang disebut Allah dalam ayat ini tanpa disedari mungkin tempiasnya kita alami dalam hidup ini.

Contoh: Bila ada kawan yang buat kesalahan yang kita yakin itu pelanggaran syara', tetapi kita jadi berat untuk menegur kerana takut kawan berkecil hati atau tersinggung atau hilang-hubungan. Ini warisan dari perangai buruk kaum Nabi Ibrahim  as. Kita tidak sepatutnya membuat pertimbangan yang menyesatkan ini kerana kita hanya merasa manafaatnya dikehidupan dunia sahaja manakala apabila masuk sahaja ke alam barzakh, tiba-tiba  kita bertukar  menjadi musuh saling melaknat.

2.0] Ingat! Dalam menegakkan kebenaran hendaklah saling ingat mengingatkan untuk mempastikan kita dan mereka berada di jalan yang benar. Kita tentulah bijaksana memilih cara yang paling berkesan, bersopan (menegur secara hikmah). Janganlah membisu seribu bahasa atau silau, lantaran kebaikannya kepada kita selama ini, kerana ini sangat merugikan kedua-dua pihak.

3.0] Dalam pelajaran-pelajaran yang lepas telah diceritakan kisah Nabi Musa as ketika berdakwah kepada Firaun. Firaun mengingatkan Nabi Musa as tentang jasa budinya yang telah membesarkan dan menjaga Nabi Musa as dengan baik dengan harapan Nabi Musa  as tidak berani menegurnya dan tidak berdakwah kepadanya. Nabi Musa as  akui segala kebaikan Firaun kepadanya tetapi Nabi Musa as tetap mendakwahkannya. "Kebaikan mu aku akui tetapi kesalahan mu aku tidak boleh biarkan", kata Nabi Musa as.

4.0] Ada satu riwayat yang popular, walaupun dipertikaikan oleh ahli hadith tentang kedudukannya iaitu, "Orang yang berilmu itu pewaris para nabi". Oleh sebab itu orang yang berilmu sepatutnya mewarisi sifat para nabi termasuklah sifat seperti Nabi Musa as ini yang menegur dan melawan firaun yang menjadi musuh Allah. Hendaklah kita contohi ketegasan Nabi Musa as dan janganlah mewarisi perangai buruk kaum Nabi Ibrahim as yang mawaddah tidak kena tempat.


5.0] Sentiasalah ingat bahawa semua persahabatan dan perhubungan di dunia ini, seakrab mana, seintim mana pun, di akhirat boleh bertukar menjadi musuh melainkan yang diikat atas dasar taqwa.

"Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan antara satu sama lain, kecuali bagi mereka yang bertaqwa" - Rujuk surah  Az -Zukhruf ayat 67; 


Taqwa dari waqa / wiqoyah  bermaksud menjaga.

Contoh: A jaga B, B jaga A, supaya tidak tercampak ke neraka. Ketika menegur hendaklah dengan ikhlas. Dalam pelanggaran syara' jangan menjadi tukang kipas. Dalam fitrah insan yang rendah, memang suka kepada kawan yang tukang kipas daripada kawan yang suka mengingatkan  kesalahan kita. Oleh itu jangan salah memilih kawan. Biarlah pandai membezakan kawan yang baik daripada kawan yang tidak baik, kerana kita yang bertuhankan Allah, bernabikan Rasul saw, berugama Islam dan telah banyak belajar, sepatutnya tahu untuk memilih kawan terutamanya pasangan, yang ikhlas. Persahabatan antara kawan, perhubungan suami-isteri, bukan hanya di dunia bahkan membawa sejahtera ke akhirat. 

Contoh: Dalam  berpakaian, tanya pendapat kawan tentang kesesuaian dengan diri kita, dan sebagai kawan hendaklah berterusterang. Sanggup menegur kesalahan, sesuai atau tidak, patuh syar'i atau tidak dan sebagainya.

6.0] Persahabatan atau perhubungan  yang penting sekali ialah antara suami-isteri, walaupun sangat intim sekali di dunia, jangan takut untuk tegur menegur antara satu sama lain. Ayat Al-Quran, " Jagalah diri kamu dan ahli kamu dari api neraka", panduan ayat ini adalah terhadap semua umat manusia.

7.0] Perbandingan diantara ayat 22 dengan ayat 25. Perhatikan fasilah (penghujung ayat) nya. Dalam kedua ayat ini, menjelaskan tentang orang yang celaka iaitu orang yang tiada penolong di akhirat.

Dalam ayat 22 ada kalimah waliyyin, dalam ayat 25 tiada kalimah waliyyin. Dalam ayat 22 guna kalimah nasiirin -mufrad, tunggal bagi penolong, manakala dalam ayat 25 guna kalimah naasirin - jama' bilangan banyak bagi penolong.

Penjelasannya:
Ayat 22 - cerita yang berlaku didunia, melibatkan kaum Nabi Ibrahim as sahaja, tidak disebut disitu berhala atau patung atau tuhan yang mereka sembah selain Allah. Oleh itu Allah sebut 'kamu tiada penolong'.

Ayat 25 - 'kamu' ini dimaksudkan dengan kaum Nabi Ibrahim as dan termasuk patung, berhala dan tuhan-tuhan selain Allah yang mereka sembah, yang mereka percayai dapat menolong mereka.

Ayat 22 - guna mufrad  nasiirin bagi penolong iaitu dimaksudkan penolong kepada kaum Nabi Ibrahim as sahaja. Manakala ayat 25 guna jama' naasirin bagi 'penolong' iaitu dimaksudkan 'penolong' untuk kaum Nabi Ibrahim as dan juga 'penolong' untuk tuhan-tuhan sembahan mereka. 

Ini berlandaskan surah Al-Anbiya ayat 68 yang bermaksud;
"Mereka berkata, bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak membuatnya," Nabi Ibrahim as lalu memberitahu mereka, "Kamu mendakwa bahawa bagi kamu dan bagi tuhan-tuhan kamu ada pelindung, sebetulnya, semua itu tidak ada penolong".

Uslub ayat 22 bermaksud hanya kepada kaumnya sahaja tidak termasuk kepada patung-patung sembahan mereka. Manakala ayat 25 ertinya didunia dan di akhirat mereka dan patung-patung mereka semua tiada penolong berlandaskan ayat Al-Quran, "Bahan bakar neraka adalah manusia dan patung-patung" - Al-Hijaarah.


8.0] "Jangan kamu fikir kamu boleh kalahkan Allah, jangan kamu fikir kamu ada penolong atau pelindung, tiada siapa yang boleh membantu kamu tetapi hanyalah Allah sahaja yang dapat menolong kamu, bila-bila masa sahaja, dengan syarat  kamu bertaubat dan menghentikan perbuatan kufur dan syirik. Tiada cara lain untuk selamat dihari akhirat kecuali dengan beriman kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya".

9.0] Tidak ada kelebihan sebagai anak atau cucu atau isteri kepada nabi sekali pun  atau orang alim ( tok guru) sekali pun, jika menolak beriman kepada Allah. Contoh: Anak dan isteri Nabi Nuh as sendiri tiada kelebihan kerana mereka menolak Allah. Jangan fikir kebaikan datuk sebagai 'tok guru' dapat diwarisi kepada anakcucunya. Jika anakcucu tidak menjaga nama baik, datuknya akan merasa kecewa terhadap anakcucunya nanti.

10.0] Hidayah itu nafsi-nafsi. Walaupun isteri kepada firaun, dapat juga masuk syurga apabila beriman kepada Allah. Di dalam kitab Talbisu iblis, iblis beri pemikiran supaya kita merasa bertuah jika dilahirkan di dalam keluarga bangsawan atau orang agama. Janganlah tertipu dengan andaian sedemikian, di dunia boleh juga menumpang sedikit sebanyak kelebihan itu tetapi di akhirat nanti, bab syurga neraka,  adalah nafsi-nafsi.

11.0] Dalam Islam, mungkin ada isteri yang kaya dan suami menumpang sehingga suami dapat menerima zakat dari isteri itu. Isteri akan mendapat pahala, kemudian suami pula boleh memberi kepada isteri sebagai nafkah kepada isterinya, suami akan mendapat juga pahala, walhal dari wang zakat isterinya juga sebenarnya. Manakala isteri memang berhak menumpang dalam harta suami dalam kehidupan di dunia,  dan ini dijelaskan dalam surah At-Talaq.

12.0] Kematian bukan perpisahan, perpisahan sebenar ialah apabila nasib berbeza di akhirat, seorang di syurga manakala seorang lagi di neraka, walaupun di dunia saling mawaddah (berkasih-sayang). Oleh itu mawaddah di dunia jangan tersalah letak, kerana bahaya sekali dan merugikan nanti.

13.0]  Surah Al Ankabut  ayat 26



Tafsir umum: 
Sebahagian daripada tafsir Imam Al-Marawi - Tatkala Nabi Lut as melihat mukjizat Nabi Ibrahim as yang selamat, tidak cedera atau tidak mati ketika dibakar di Negeri Iraq (Babilonia), maka Nabi Lut as pun membenarkan atau percaya kepada seruan Nabi Ibrahim as. Berkatalah Nabi Lut as, "Aamantu lahu" maksud nya, "Aku membenarkan atau percaya kepada kamu". 

[Nota: Jika "Aamantu billah" bermakna "Aku beriman kepada Allah"].

Nabi Ibrahim as lalu mengajak Nabi Lut as berhijrah meninggalkan Iraq (Babilonia) ke Negeri Syam (Asia Barat), Syria, Jordan. Kata Nabi Ibrahim as, "Aku berhijrah kepada Tuhanku, kemana Tuhanku menyuruh aku pergi, kerana Dia melindungi aku daripada siksaan musuh-musuh ku, dengan sifat Aziz-Nya, Dialah yang menyelamatkan aku dari siksaan kaumku. Dia Al-Hakim, kerana Dia tidak menyuruh ku melainkan apa yang sesuai dengan Kesempurnaan HikmahNya dengan Kebijaksanaan-Nya". Allah  pasti tidak salah perintah. Nabi Lut as tentu tidak akan percaya kepada Nabi Ibrahim as kecuali kerana dia mempercayai Tuhan yang sama yang dipercayai oleh Nabi Ibrahim as juga.

14.0] Dari Ibnu Kathir, Allah memberitahu kita tentang Nabi Ibrahim as yang mana hanya Lut sahaja yang beriman kepada Nabi Ibrahim as. Nabi Lut as ialah anak saudara Nabi Ibrahim as, iaitu Lut bin Haaran. Haaran adalah saudara Ibrahim.  Berlaku di Iraq (Babilonia), kemudian berhijrah ke Syam, kemudian diikuti oleh Sarah isteri Nabi Ibrahim as. Sarah pula ialah anak pakcik sebelah bapa Nabi Ibrahim as  iaitu sepupu kepada Nabi Ibrahim as.

(Nota: Pakcik sebelah bapa = ammon. Pakcik sebelah ibu = khalon)

15.0]. Sebagaimana dalam hadis sahih: Ketika Nabi Ibrahim as berjalan bersama Sarah, mereka telah ditahan oleh seorang penguasa yang zalim. Nabi Ibrahim as memberitahu bahawa Sarah itu saudaranya supaya Sarah tidak dirampas oleh penguasa itu. Disinilah Nabi Ibrahim as dikatakan telah berdusta padahal tidaklah boleh dikatakan dusta kerana dibumi masa itu yang percaya kepadanya hanyalah Sarah dan Nabi Lut as dan di dunia masa itu tidak ada pasangan muslim kecuali Nabi Ibrahim as dan Sarah. Nabi Ibrahim berkata, "Engkau adalah saudaraku fiddin. Nabi Ibrahim as, Sarah dan Nabi Lut as pergi meninggalkan Babilonia. Yang menariknya dalam kalimah ini ialah kalimah Muhaajirin / Hajara. Maksudnya meninggalkan sesuatu dengan disertai rasa benci.

Contohnya: Nabi Muhammad saw bersama sahabat sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah dimana hati sahabat-sahabat benci kepada perbuatan orang-orang kafir. Nabi Ibrahim as meninggalkan negara Babilonia dengan rasa benci atas perbuatan kaumnya.

16.0] Nabi saw bersabda, "Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan atau tidak bertegur sapa saudara muslimnya (dengan rasa benci) lebih dari 3 hari, iaitu memutuskan silaturrahim, itu dinamakan Hijrah. Memutuskan silaturrahim (qothu rahim) adalah dosa besar,  haram dari masuk syurga, tetapi jika kita tiada rasa benci, walau lama tidak berhubungan, tidak dikira putus silaturrahim.

Contoh: A, B dan C adalah tiga orang yang bukan Islam, kemudian memeluk agama Islam, belajar apa yang wajib ditinggalkan. Jika minum arak  yang menjadi kebiasaan harian mereka telah mereka tinggalkan, dari segi zahir, syara', feqah, ketiga tiga orang itu sudah tidak berdosa, mendapat pahala, tetapi berbeza pahalanya bergantung kepada hati mereka.

A - tinggalkan arak dengan rasa benci, paling tinggi pahalanya.
B - tinggalkan arak tetapi belum benci, dapat pahala kurang dari  A.
C - tinggalkan arak tetapi dengan ada lagi rasa berkeinginan, maka pahalanya adalah paling sedikit, iaitu dia belum mampu menimbulkan rasa benci terhadap arak, bermakna dia belum hijrah.

Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan sesuatu dengan rasa benci apa yang Allah larang. Nabi saw bersabda," Tiada lagi Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah".

Pahala A, B dan C akan berbeza  dari segi apa yang ada di dalam hatinya tentang kebencian terhadap arak. Allah Maha Mengetahui. Walaupun yang diminum itu hanya air teh kosong, tetapi jika dibayangkan minum minuman haram, itu pun berdosa. Menghayalkan sesuatu yang haram itu HARAM.

17.0] Allah mengetahui hati hamba-Nya terutama hati Nabi Ibrahim as yang sangat marah kepada kaumnya, kerana bila dia berdakwah kepada bapanya, ditolak, berdakwah kepada kaumnya, ditolak, berdakwah kepada penguasanya Raja Namrud, juga ditolak. Akhirnya Nabi Ibrahim as nekad berhijrah ke Negeri Syam. Kaumnya yang beria-ia ingin membakar Nabi Ibrahim as, tetapi terkejut setelah melihat Nabi Ibrahim keluar dengan selamat dari api, namun tetap tidak mahu beriman. Inja' Allah kepada Nabi Ibrahim as, yang merupakan mukjizat, inja' Allah yang kita tidak dapat memahaminya dengan akal kita tetapi hanya perlu meyakininya dengan dalil bukti yang jelas .


18.0] Imam Al-Baihaqi dalam hadith yang bersumber dari Al-Qatadah, daripada Rasulullah saw,"Orang yang mula-mula berhijrah dikalangan orang Islam ialah Uthman bin 'Affan, sementara hamba Allah muslim yang pertama berhijrah untuk menyelamatkan agamanya ialah Nabi Ibrahim Khalilullah.

Ketika Rasulullah saw diberitahu: 

"Ya Rasulullah, aku melihat orang yang mengkhianati mu membawa bersama isterinya (iaitu Uthman dan isterinya Roqayah) meninggalkan kamu menunggang himar dengan perlahan, isterinya yang menunggang dan dia yang memegang talinya".

Apabila Nabi saw mendapat tahu menantu dan anaknya berhijrah, Nabi berkata: "Sohibahumullah" (3 kali). Sesungguhnya menantuku itulah orang yang mula-mula berhijrah membawa keluarganya selepas hijrah Nabi Ibrahim as, Sarah dan Nabi Lut as setelah sekian lama, berselang beribu tahun. Nabi saw memuji menantunya Uthman bin 'Affan dan anaknya Roqayah binti Muhammad.

Oleh itu apabila kita melihat kawan-kawan kita berjalan atau berhijrah, kita bolehlah berdoa dengan " Sohibahu/ ha / hum Allah" yang bermaksud, "Semoga Allah sentiasa menemaninya / mereka".

Contoh: 
Melihat kawan kita mengikut misi kemanusiaan sesama muslim untuk menghantar bantuan ke negara bergolak, eloklah kita doakan " Sohibahumullah" yang diajar oleh Nabi saw sebab apabila ditemani Allah semua  urusan akan mudah dan selamat.

19.0] Abu Bakar pernah menangis ketika menemani Nabi saw di Gua Thur tetapi Nabi saw menasihatinya, "La tahzan, innallaha ma'ana" yang bermaksud  "Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita".

20.0]  Hijrahlah Nabi Ibrahim as, Sarah dan Nabi Lut as ke Negeri Syam yang Allah kata "Sebagai negeri yang Kami berkati". Sesampai di Negeri Syam, tiba-tiba Nabi Ibrahim as hadapi kesempitan hidup yang luar biasa, susah. Nabi Ibrahim as, Sarah dan Nabi Lut as pun tinggalkan Negeri Syam menuju ke Mesir. Kemudian ke Palestin disertai pula hambanya Hajar yang dihadiahkan oleh Penguasa Mesir.

21.0] Nabi Ibrahim as sangat-sangat mengharapkan anak, namun isterinya Sarah 'aqim (susah untuk mengandung). Tatkala Sarah melihat keinginan suaminya Nabi Ibrahim as yang ingin sangat kepada anak, lantas Sarah menghadiahkan hamba sahayanya, Hajar, untuk dikahwini Nabi Ibrahim as. Lalu Allah swt menganugerahkan seorang anak iaitu Nabi Ismail as kepada keluarga itu. Itulah berkatnya perjalanan yang mana Nabi Ibrahim as sentiasa berdoa sepanjang perjalanannya. 

Contoh:
Pengorbanan isteri (Sarah), yang rela menghadiahkan isteri kepada suaminya dan dia tidak berapa cemburu sebab Hajar adalah kurang dari dirinya dalam banyak segi.

22.0] Rujuk surah As-Saffat ayat 100:
Nabi Ibrahim lama berdoa, "Robbi habli minassoolihin" yang bermaksud "Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang soleh. Tidak disebut jantina tetapi ditekankan untuk dapatkan anak soleh. Tentang jantina diserahkan kepada Allah. Itulah permintaan Nabi Ibrahim as sepanjang perjalanan, dan Allah kabulkan melalui mendapat zuriat daripada hambanya Hajar, iaitu mendapat Nabi Ismail as.

23.0] Rujuk surah As-Saffat ayat 101:
"Maka Kami berikan khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran)  seorang anak yang sangat sabar (Ismail)".

24.0] Anak-anak Nabi Ibrahim as, iaitu Nabi Ishak as, Ghulaamin 'Alim. Anak yang pintar, cerdas, IQ tinggi, intelektual. Lahir selepas Nabi Ismail as. Nabi Ismail as, Ghulaamin Halim, penyantun, lapang dada, pemurah, kecerdasan spiritual hebat, jiwa yang tabah luar-biasa, sehingga dapat redho ketika diuji Allah untuk disembelih ayahnya. Nabi-nabi keturunan Nabi Ishak as iaitu keturunan Bani Israel yang hebat-hebat otaknya, dan hebat dalam berdebat. Contoh: Nabi Sulaiman as yang tinggi ilmunya dan Zulkarnain yang hebat orangnya. 

25.0] Nabi dari keturunan Nabi Ismail as  iaitu Nabi Muhammad saw jiwanya besar, kesabarannya sangat tinggi. Nabi saw mengakui ummiyyun, tetapi sangat patuh terhadap arahan Allah, rela pergi berperang, menghafal Al-Quran, suruhan sedeqah dipatuhi, menunjukkan keturunan yang lebih mengedepankan akhlak dari berdebat dan dapat dijadikan contoh dalam segala urusan kehidupan.


No comments:

Post a Comment