Tuesday, April 12, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 26-27) Kuliah 27- Hijrah Nabi Ibrahim, Ghulaamin Halim, Ghulaamin 'Alim

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 26;

Sorotan kuliah minggu lepas, surah Al-Ankabut ayat 26 ialah tentang peristiwa hijrahnya Nabi Ibrahim Khalilullah as dari Negeri Iraq ke Negeri Syam setelah Allah selamatkannya dari mati terbakar. Sayangnya setelah tiba di Negeri Syam, dalam jangka masa yang tidak lama, Negeri Syam mengalami kesukaran hidup yang amat sangat yang menyebabkan Nabi Ibrahim as membawa isterinya berhijrah pula ke Negeri Mesir. Ini juga satu lagi pertolongan dari Allah.

2.0] Sarah pula dengan pertolongan Allah, dapat menyembuhkan penyakit pada tangan penguasa Mesir, lalu dihadiahkan seorang hamba sahaya bernama Hajar oleh penguasa Mesir itu. Nabi Ibrahim as yang begitu berkeinginan untuk mendapatkan anak daripada Sarah namun tidak mendapatnya. Lantas Sarah menghadiahkan Hajar kepada Nabi Ibrahim as sebagai isteri, lalu Allah kurniakan seorang putra daripadanya iaitu Ismail a.s yang Allah beri gelaran sebagai ghulaamin halim.


3.0] Lebih kurang satu dekad selepasnya, Allah beri lagi seorang putra daripada isteri pertamanya, Sarah, yang sekian lama payah untuk mengandung, iaitu Ishak a.s, dengan gelaran  ghulaamin 'alim seperti yang diceritakan dalam surah Al-Hijr ayat 53 dan surah Az -Zaariyat ayat 28.







4.0] Nabi Ishak as, ghulaamin 'alim, seorang yang cerdas, pandai, pintar, tinggi intelek, punya bakat untuk miliki pelbagai ilmu pengetahuan. Sementara Nabi Ismail as, ghulaamin halim, ialah seorang yang berlapang dada, penyantun, penyabar, redho, qonaah, mampu kawal nafsu, tawaddu' dan dinyatakan Allah dalam surah As-Saffat ayat 101.

Lengkaplah sudah anugerah Allah kepada Nabi Ibrahim as dengan kurniaan dua orang anak lelaki yang hebat. Allah kurniakan nikmat kepada Nabi Ibrahim as yang tidak terhingga besarnya dan dijelaskan dalam surah Al-Ankabut ayat 27 yang sedang kita pelajari ini


Ini sebahagian anugerah Allah kepada Khalilullah Nabi Ibrahim a.s. dan didalam ayat yang lain, ditambah dengan perkataan naafilah yang maksudnya tambahan, bukanlah Allah anugerahkan dua orang anak kepada Nabi Ibrahim as  iaitu Ishak dan Yaakub tetapi Ishak adalah anaknya dan Yaakub adalah cucunya. Dalam ayat ini ditekankan bahawa balasan dan kurniaan anugerah dari Allah kepada Nabi Ibrahim as ini adalah sebagai balasan dari keteguhan-nya mempertahan akidah tauhidnya kepada Allah.

6.0] Allah kurniakan Ishak as setelah Nabi Ibrahim as berjaya melalui ujian berat daripada-Nya supaya menyembelih satu-satunya putra kesayangan iaitu Ismail as. Nabi Ibrahim as juga telah berkorban meninggalkan anak isterinya ditempat asing tanpa berpenghuni ketika anaknya Ismail as masih bayi dan menyusu lagi.

7.0] Selepas Hajar melahirkan Ismail, timbullah kecemburuan (ghirah) dan penyesalan (hasrah) dihati Sarah. Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim as menjauhkan diri daripada isteri dan anaknya itu. Allah tahu itu. Allah wahyukan kepada Nabi Ibrahim as untuk membawa Hajar dan Ismail yang masih menyusu pergi ke Makkah. Setelah melalui padang pasir dengan pelbagai kepayahan, sehingga sampai disisi rumahnya (Baitullah), Nabi Ibrahim as pun akan balik semula ke Palestin. Semasa Nabi Ibrahim as hendak meninggalkan Hajar dan anaknya, Hajar bertanya, "Kepada siapa hendak engkau tinggalkan kami berdua di lembah gersang yang ganas ini?".

8.0] Terdapat binatang buas, air pun tidak ada. Nabi Ibrahim as tidak segera menjawab kerana terpaksa meninggalkan anak isterinya itu dan merasa tidak sampai hati. Lalu Hajar mendesak, "Allah-kah yang menyuruh engkau melakukan ini? Baru Nabi Ibrahim as menjawab sepatah saja, "Na'am". Hajar menjawab dengan respon luar biasa, "Oh, kalau Allah yang menyuruh engkau meninggalkan kami, kami yakin, Allah pasti menolong kami dan tidak akan mensia-siakan kami".

9.0] Mukmin sejati yang luar biasa menghadapi ujian Allah. Bandingkan kita dihadapan orang seperti ini. Kita kerdil, iman kita tiada sebesar habuk pun. Bandingkan iman Nabi Ibrahim as, iman Hajar, iman yang kuat, tidak putus asa  dan tidak berhujah untuk kepentingan diri di hadapan suami.

10.0] Contoh buat perbandingan: Suami sekarang yang ingin menegur isteri untuk menutup aurat, perlu berfikir panjang supaya isteri tidak berkecil hati. Begitu pula isteri yang disuruh suami untuk menutup aurat, protesnya luar biasa, tetapi mengaku juga diri muslimah mukminah. Sebagai panduan hidup yang baik, lihatlah kepada orang diatas kamu dalam bab agama dan lihatlah orang dibawah kamu dalam bab dunia.

11.0] Rasakan ketika anda pergi haji, umrah atau ziarah, bandingkan dengan keimanan Hajar dan Nabi Ibrahim as. Rasakan seolah-olah kita menjadi Nabi Ibrahim baru, menjadi Hajar baru, cuba rasakan betapa kecilnya kita, cubalah untuk tidak berani banyak komplain, cubalah untuk tidak merungut, walaupun susah, cubalah tabah hadapi apa saja.

12.0] Ternyata sekali cerdasnya Hajar ini. Jasanya, tanda keimanannya yang kuat. Lantaran itu Allah yang menjaganya, rumah nya hijir Ismail diizin Allah untuk berjiran melekat dengan Rumah Allah, Baitullah. Hajar seorang sahajalah manusia yang mendapat keistimewaan ini, bukan nabi, bukan rasul. Hijir bermaksud pangkuan, Hijir Ismail ialah dimana Hajar selalu memangku Ismail semasa menyusukannya.

13.0] Didalam syariat Nabi Muhammad saw, tidak sah tawaf tanpa mengelilingi sama Hijir Ismail. Semua  umat Nabi saw berkeinginan untuk mengelilingi atau masuk ke Hijir Ismail dan supaya dapat meminum dari telaga zam-zam.

14.0] Selepas satu dekad, Allah perintahkan Nabi Ibrahim as untuk membunuh Ismail yang tidak dibesarkannya bersama. Hajar seorang yang membesarkannya. Ketika Nabi Ibrahim as memberitahu anaknya dan isterinya, Hajar tidak protes, dengan berdasarkan sami'na waato'na "Kami dengar dan kami taat", seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 285. Betul- betul mencontohi sikap malaikat. Suruhan Allah diterima tanpa protes. Berkat dari keimanan berpegang kepada akidah tauhid ini lah Allah telah anugerahkan kepada Nabi Ibrahim  as seorang lagi anak iaitu Ishak as.

15.0] Ini adalah doa Nabi Ibrahim as  ketika meninggalkan anak isterinya ditempat asing tanpa berpenghuni.
"Ya Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dekat dengan rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur". - Surah Ibrahim ayat 37.

16.0] Tiga perkara yang dipohon oleh Nabi Ibrahim as di dalam doanya iaitu:

i) Supaya Allah menjadikan keluarganya orang yang mendirikan solat. Ini simbol keharmonian hamba dengan Penciptanya. Hidup pasti tenang. Walau dicampak ke mana, hatta ke dalam api sekali pun. Oleh itu jadikanlah ini nasihat pertama kita kepada anak-anak dalam segala peringkat umur walaupun yang baru mendirikan rumahtangga. Pastikan untuk mendapat Redho Allah dahulu sebelum memberi nasihat yang lain.

ii) Supaya Allah jadikan hati sebahagian manusia condong untuk mengunjungi mereka. Walaupun  sehingga Hajar meninggal, doa ini belum terkabul namun kini Makkah telah menjadi objek daya penarik terulung di dunia yang mana berbondong-bondng orang ingin mengunjunginya berkali-kali dan sanggup menghadapi apa sahaja cabaran disitu.

iii) Supaya Allah memberikan rezeki dari buah-buahan dan supaya mereka bersyukur. Doa ini pada masa itu kelihatan seperti tidak logik memandangkan kawasan itu adalah padang pasir berbukit-batu dan tiada hujan. Nabi Ibrahim as tidak memaksa supaya segera dikabulkan doanya, tetapi lihat sahaja sekarang, buah-buahan di situ sangat banyak, segar dan bagus-bagus.

17.0] Nabi Ibrahim as punyai wawasan yang sangat jauh. Dia tidak menginginkan sangat untuk menikmati kemakbulan doanya untuk dirinya sendiri. Begitu juga dengan Hajar dan Ismail tidak merasakan kemakbulan doa mereka sewaktu hidup mereka.

18.0] Bandingkan secara jujur, jika anak kita keluar negeri, mungkin untuk menyambung pelajaran, fokus utama kita tentunya untuk mempastikan tempat tinggalnya dekat dengan kampus, klinik, bank, tempat makan dan sebagainya. Itu menunjukkan terlalu kuat dunia orientednya kita. Anak kita pula akan mengadu perkara remeh temeh. Bandingkan dengan Nabi Ibrahim as dan keluarganya. Kerdilnya kita. Wawasan kita jangka pendek dan sangat singkat berbanding wawasan Nabi Ibrahim as dan keluarganya.

19.0] Allah dengan sifat-Nya As-Syakur yang Maha Membalas, membalas berganda-ganda kebaikan, di atas segala susah payah dan kesabaran hambaNya hadapi ujian. Kelahiran Ishak as adalah sebagai penghargaan Allah atas kesabaran Nabi Ibrahim as atasi ujian, manakala kelahiran Ismail as ialah berkat kemakbulan doa Nabi Ibrahim as semasa perjalanan. "Robbi habli minassoolihin". Lalu Allah jawab, dan Allah beri khabar gembira dengan lahirnya anak ghulaamin halim. Ada pakar bahasa berkata kerana Nabi Ibrahim as merasa yang doanya dikabulkan Allah lalu diberi nama anaknya Ismail, dimana Isma' bermaksud mendengar, dan il bermaksud Allah. Ismail bermaksud Allah Mendengar. Manakala Isra' = hamba, Israil = hamba Allah.;

20.0] Berbeza dengan kelahiran Ishak as, penganugerahan Allah adalah di atas sebab berkat perjuangan dan kegigihan Nabi Ibrahim as. Nabi Ibrahim tidak berdoa pun untuk mendapat anak lagi, sebab itulah ketika didatangi malaikat memberitahu akan mendapat anak, kedua-dua Nabi Ibrahim dan Sarah sangat terkejut kerana mereka tidak terfikir dan tidak menyangka kurniaan tersebut. Allah beri balasan dengan seorang anak ghulaamin 'alim iaitu Ishak as, yang punyai otak yang sangat pandai mendahului zamannya.

21.0]. Nabi Muhammad saw satu-satunya keturunan daripada Nabi Ismail as yang halim.Tidak malu mengaku dirinya tidak tahu baca-tulis, namun sangat menonjol dalam dakwahnya dengan mengedepankan akhlak mulia dan hasilnya ternyata lebih hebat. Sabda Nabi s.a.w, "Hanya saanya aku ini diutus Allah untuk menyempurnakan budi pekerti".

Seorang yang mengkagumi jirannya yang rajin berpuasa dan qiam malamnya, tetapi buruk akhlaknya,  Nabi s.a.w berkata, "Jiran mu di neraka". Itu menunjukkan peri pentingnya budi pekerti yang mulia.

22.0] Akhlak mulia Nabi saw jelas  dapat dilihat apabila seorang ketua munafik, Abdullah bin Ubai yang selalu menyusahkan Nabi sehingga sahabat Nabi, Umar beberapa kali meminta izin untuk memenggalkan lehernya namun Nabi saw tidak benarkan. Anaknya sendiri meminta izin daripada Nabi saw untuk membunuh ayahnya, namun Nabi saw tidak membenarkan. Apabila beliau mati, anaknya meminta baju Nabi saw untuk membalut mayatnya dan Nabi saw beri. Allah benarkan untuk dimohon ampun atau tidak untuknya, walaupun tidak akan dikabul Allah, Nabi  saw memohon ampun lebih dari tujuh puluh kali untuknya walaupun tidak akan dikabulkan Allah. Nabi saw hampir untuk solatkan jenazahnya juga tetapi telah diingatkan Allah supaya tidak berbuat demikian. Jelas sekali sikap kasih sayang Nabi saw terhadap sesama insan.

23.0] Bandingkan kalaulah kita, bagaimana sikap kita terhadap orang yang telah menyakitkan hati kita? Apa doa kita? Kenapa kita berbeza sangat dengan orang-orang yang hebat ini?.

24.0] Nabi Ibrahim as sangat risau jika anak isteri tidak solat. Kita bagaimana? Apa doa kita apabila meletakkan anak di suatu tempat asing? Musibah dunia seperti jika tiada air, jika sampai mati sekali pun, mungkin dapat masuk syurga, tetapi dalam musibah agama, jika tidak solat akan menyebabkan masuk neraka. Doa Nabi Ibrahim as, "Bantulah ya Allah, pastikan mereka mengerjakan solat". 

[Nota;Tiada alasan, untuk tidak bersolat, jika tiada air, tanah ada untuk tayammum]

25.0] Dari ulama tafsir tentang ayat 27 ini, "Maka tibalah masa balasan dari musibah keatasnya dengan anugerah atas keteguhan imannya". Jaza' asobbih'= balasan bagi kesabaran dan keteguhan iman.

26.0]. Allah himpunkan dua balasan sekali gus kepada Nabi Ibrahim as, iaitu balasan dunia dan balasan akhirat iaitu:

i) Pertolongan Allah kepadanya, selamat daripada perbuatan jahat musuhnya. 
ii) Selamat dari api yang membakarnya. 
iii) Selamat dalam musafir dari Babilonia ke Negeri Syam. 
iv) Semua orang tidak kira apa agama, menceritakan yang baik- baik sahaja tentang Nabi Ibrahim as. Satu-satunya Nabi Allah yang dipuji oleh seluruh umat berugama Samawi samada Yahudi, Nasrani atau pun Islam. Husnus sumaah, apa saja berita sejarah tentang Nabi Ibrahim as, baik belaka dan disukai orang.

27.0] Semua nabi lain difitnah. Nabi Muhammad saw dikatakan gila, pembohong, sihir dan semasa Nabi s.aw berkhutbah pun ada orang yang tinggalkan majlis dan keluar. Bandingkan, betapa khatib sekarang tidak ada yang dipanggil gila, tidak ada orang yang keluar dari majlis mereka. Yang gila ialah yang menuduh gila itu lah yang sebenarnya. Anak cucu Nabi Ibrahim as, zuriat keturunannya kebanyakkannya dipilih Allah sebagai nabi-nabi, para pejuang, atau orang soleh. Balasan akhirat untuk Nabi Ibrahim as ialah janji Allah bahawa Nabi Ibrahim as masuk ke dalam golongan orang soleh dan ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim as telah mendapat kesempurnaan nikmat, nikmat dunia dan nikmat akhirat iaitu kamalun nikmah.

28.0] Balasan Allah kepada Nabi Ibrahim as atas kesungguhannya menyampaikan dakwah tauhidnya dalam perjuangannya dan menghancurkan fahaman keberhalaan. Allah telah memberi nikmat kepada Nabi Ibrahim as selepas Nabi Ibrahim as meninggalkan kaumnya yang berfahaman keberhalaan.

29.0] Ada tiga jenis nikmat yang Allah telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim iaitu:

i) Allah swt mengurniakan putra iaitu Nabi Ismail as dikala usianya telah lanjut dan Allah SWT mengurniakan cucu iaitu Nabi Yaakub as sebagai tambahan, naafilah, iaitu anak Nabi Ishak dikala Nabi Ibrahim sudah sangat- sangat lanjut usianya. Dijelaskan dalam surah Al -Anbiya' ayat 72.
ii) Allah swt menjadikan kenabian dan kerasulan dari zuriat  keturunannya dan ada yang diberi kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
iii) Allah janjikan keselamatannya daripada neraka diakhirat, lantaran Nabi Ibrahim as punyai maqam yang sangat mulia, seperti mana terangkum dalam doa "Robbana aatina fiddunya hasanah wafil aakhirati hasanah waqina 'azaabannar"- surah Al-baqarah ayat 201.

30.0] Berkenaan dengan istilah nikmah, Allah kata bahawa Nabi Ibrahim as dikurniakan nikmah dengan mendapat anak diusia lanjut, bagi kita tidak mudah untuk menganggapnya sebagai nikmah, kerana dalam memahami makna nikmah pun kita belum muafaqah dengan Allah. Rahsia ketenangan hidup ini ialah bila kita muafaqah dengan Allah.

31.0] Bahagia dirasa jika kita seiring sejalan dengan Allah. Jika Allah kata ini nikmah, kita yakin ini nikmah. Jika Allah kata ini musibah, kita yakin ini musibah. Jika Allah kata ini istidraj, kita yakin ini istidraj. Tetapi bila kita masih mukhalafah dengan Allah, kita tidak akan bahagia. Kewajipan kita ialah untuk menyesuaikan diri dengan Kehendak Allah. Jangan paksa Allah menghendaki apa yang kita kehendaki.

32.0] Contoh: Apabila kita berdoa untuk mendapatkan seorang anak lelaki, tetapi jika tidak dapat, lantas kita merasa gagal, itu tidak sepatutnya. Sebaliknya kita hendaklah menyesuaikan, menserasikan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah, baru lah hati akan tenang, dengan hati yang terbuka dapat menerima apa sahaja yang Allah berikan. Jika salah ketika berdoa dan meminta tetapi Allah beri juga, itu ialah istidraj.

33.0] Nabi Muhammad saw memuji kehebatan Nabi Ibrahim Khalilullah sebagai orang yang paling baik, keluarga yang paling baik. Nabi saw berkata, "Yusuf nabiyullah, ibnu Yaakub nabiyullah, ibnu Ishak nabiyullah, ibnu Ibrahim khalilullah", iaitu Nabi Allah Yusuf bin Nabi Allah Yaakub bin Nabi Allah Ishak bin Nabi Ibrahim Khalilullah. Dalam matan yang lain, hadis Bukhari Muslim, Nabi saw berkata, "Ibnu karim, ibnu karim, ibnu karim, ibnu karim, iaitu orang yang mulia, anak kepada orang yang mulia, cucu kepada orang yang mulia, cicit kepada orang yang mulia.

34.0]. Empat zuriat semua hebat, contoh, jika ayah menteri, anak menteri, cucu menteri, cicit juga menteri. Ini tentunya ada rahsianya dalam mendidik anak. Dari aspek pendidikan anak tidak ada yang dapat menandingi Nabi Ibrahim as. Semua nabi yang diutus selepas nya adalah dari nasabnya, Nabi Ibrahim Khalilullah, gelaran yang paling tinggi dalam bab Al-Mahabbah. Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam kitabnya Madanul Salikin menjelaskan, khalil ialah tingkatan cinta yang paling tinggi antara hamba dengan Allah. Khullah bermakna kosong, tidak ada penghalang walau pun dengan seurat benang antara hamba dengan Khaliqnya.

35.0] Nabi Ibrahim as pernah ada penghalang antaranya dengan Allah iaitu kewujudan putranya Ismail. Lalu Allah uji supaya Nabi Ibrahim as hilangkan Ismailnya. Nabi Ibrahim as sami'na waato'na sanggup membunuh cintanya Nabi Ismail supaya tiada lagi penghalang antaranya dengan Kholiqnya. Tanda pengorbanan Nabi Ibrahim ialah dirinya sanggup dibakar, isteri dan anak sanggup ditinggalkan, orang tuanya telah lama ditinggalkannya, dan anak kesayangan sanggup dibunuh. Bandingkan dengan kita yang masih punyai banyak Ismail. Ismail bagi kita ialah yang menjadikan kita punyai banyak alasan dari mematuhi perintah Allah seperti jawatan kita, harta kita, anak kita dan sebagainya. Orang yang jaga imej (jaim), banyak sekali Ismail nya. Malaikat tidak akan sujud kepada Nabi Adam as jika jaim tetapi ternyata malaikat patuh dan tidak jaim, bila Allah yang menyuruh kena lah patuhi.

36.0] Contohnya: Alasan untuk tidak mahu berwuduk atau tidak mahu bersolat  kerana takut rosak makeup. Tatkala menghadiri majlis besar, menjadi tetamu kehormat pula, lantaran masa suntuk dan wuduk telah terbatal, akhirnya tidak solat. Make up itu jadi Ismail bagi orang yang jaga imej, jaim itu. Bagi orang lelaki juga yang merasa mesyuarat yang libatkan jutaan ringgit itu lebih penting dari mengutamakan suruhan Allah, juga telah punyai Ismail. Hindarilah keadaan begitu kerana bukan begitu panduan dari Allah bagi orang mukmin.

37.0]. Nabi Ibrahim as dijanjikan kebaikan dunia dan akhirat kerana dia minassoolihin, dari golongan orang soleh. Tidak mudah sebenarnya untuk mendapatkannya kerana contohnya di dunia ini pun untuk masuk tandas perlu berbayar apa lagi untuk dapat memasuki  syurga yang kekal abadi. Tidak keterlaluan jika dikatakan  Nabi Ibrahim as adalah sangat hebat kerana Allah telah berfirman didalam Al-Quran, dituju khas kepada Nabi Muhammad saw dan umatnya,"wattabi'billata Ibraahim", "ikuti, jadikanlah Nabi Ibrahim sungguh-sungguh ikutan kamu" dalam menjalani hidup ini.

38.0] Nabi Muhammad saw pun sangat tawadduk dalam mengajar selawat kepada nya bersama selawat kepada Nabi Ibrahim as kerana Nabi s.a.w pun  menghajatkan selawat kepadanya seperti yang Allah telah berikan kepada Nabi Ibrahim as.

39.0] Mudah-mudahan, semoga kita semua dapat menjadi Nabi Ibrahim baru (setiap bapa), Hajar baru (setiap ibu)  dan Ismail baru (setiap anak). Itulah asas kebaikan kehidupan. Itulah arah tadayyun kita, matlamat agama kita. Baarokallah. Aamiin.


No comments:

Post a Comment