Tuesday, March 21, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 64) - Kuliah 65 - Ad-Dunya, Al-Akhirah, Al-Hayat, Al-Maut, Al- Hayawan.

1.0] Surah Al- Ankabut ayat 64;

Pada kuliah minggu lepas, kita telah pelajari tentang kalimah-kalimah Al-Hayat, Lahwun wa La'ibun, Ad-Dunya dan lawannya Al-Akhirah. Kalimah Ad-Dunya ini telah diulang sama banyak dengan lawannya Al-Akhirah iaitu sebanyak 115 kali di dalam Al-Quran. Ad-Dunya ialah tempat kita hidup, iaitu Al-Hayat yang lawannya dengan Al-Maut. Subhanallah, kalimah Al-Hayat juga sama dengan Al-maut yang diulang sebanyak 145 kali dalam Al-Quran, bahkan bukan itu sahaja, akhirnya kita menemukan kaedah, dimana Al-Quran yang penuh dengan keseimbangan yang tiada percanggahan, kalimah-kalimah yang berlawanan (antonym), jumlah pengulangannya adalah sama banyak di-dalam Al-Quran. Diantara contohnya ialah;

Al-Hayat dan lawannya Al-Maut
Ad- Dunya dan lawannya Al-Akhirah
Al- Lail dan lawannya An- Nahar
Al-Jannah dan lawannya An-Nar

Ini adalah luar biasa dan ini adalah I'jaz 'Adadi, yang jika dikaji dengan hati terbuka pasti akan menggetarkan jiwa kita, ketika kita berhadapan dengan kitab yang mengkagumkan ini, dengan syarat hati yang ikhlas, kerana ianya bukan sebarang kitab. Kalau kita boleh menangis hanya dengan membaca buku-buku cerita karangan manusia seperti buku cerita Al-Ila dan Damina, atau pun kisah percintaan klasik Tiongkok iaitu Sampit dan Intai yang mana lebih kuno dan klasik daripada cinta klasik Romeo dan Juliet, dapat dijiwai dengan berkesan, bagaimana mungkin kita tidak terkesan atau tersentuh hati dengan membaca Al-Quran yang jauh lebih dahsyat. Bukan Al-Quran tidak punya kekuatan menyentuh hati tetapi mungkin kerana hati kita yang tidak mudah disentuh atau pun pantang disentuh atau sudah terlalu keras membatu menolak sentuhan.

2.0] "Kenapa diulang seimbang kalimah Ad-Dunya dan lawannya Al-Akhirah dan juga Al-Hayat dan lawannya Al-Maut?". Ini memberi isyarat bagaimana keadaan seseorang selepas mati diakhirat 100% sama keadaannya seperti bagaimana ia hidup didunia. Akhirat adalah tempat Allah memberi dan menunjukkan balasan kepada hambaNya 100% sesuai dengan amal usahanya semasa ia hidup di dunia. Jika di dunia hidupnya selayaknya ahli syurga maka Allah akan kurniakan balasan syurga tidak dikurangi dan begitu jugalah sebaliknya jika dikehidupan dunia ia melakukan dosa dan kesalahan, maka balasan di akhirat pun sama 100% tidak ditambah dengan balasan lain. Ini adalah sekadar maklumat supaya kita ingin membaiki kehidupan agar lebih baik lagi.

3.0] Untuk mendalami lagi, kita akan membandingkan surah Al-Ankabut ayat 64 ini dengan surah Al-An'am ayat 32;

Ayat ini menceritakan tajuk yang sama iaitu tentang hakikat Al-Hayatud-Dunya dan hakikat Ad-Daarul-Akhirah. Tetapi cuba perhatikan susunan ayatnya yang ada perbezaan, pasti ada sesuatu yang ingin Allah sampaikan. Kenapa ada 2 struktur kalimah atau 2 uslub ayat yang berbeza?. Sayogia diingatkan bahawa di dalam Al-Quran kalimah Lahwun Wa La'ibun, yang Lahwun disebut dahulu, yakni di dalam 2 ayat sahaja iaitu di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 ini dan surah Al-A'raf ayat 51. Manakala yang disebut La'ibun dahulu kemudian Lahwun terdapat di dalam 3 surah iaitu surah Al-An'am ayat 32, surah Muhammad ayat 36 dan surah Al-Hadid ayat 20.

4.0] Kita cuba perhatikan apa perbezaannya diantara 2 ayat ini, iaitu surah Al-Ankabut ayat 64 dengan surah Al-An'am ayat 32. Terdapat 5 perbezaannya iaitu, di dalam surah

i) Al-Ankabut 64- terdapat kalimah wama haazihi
   Al-An'am 32- tiada kalimah haazihi

ii) Al-Ankabut 64- disebut lahwun wa la'ibun
  Al-An'am 32- disebut la'ibun wa lahwun

iii) Al-Ankabut 64- disebut wa innad-daaral-aakhirah
  Al-An'am 32- disebut waladdaaril aakhirah

iv) Al-Ankabut 64- disebut lahiyal hayawan
  Al-An'am 32- disebut khairul lillazinayattaqun

v) Al-Ankabut 64- faasilahnya, lau kaanu ya'lamun. [Nota; Faasilah ialah kalimah yang dijadikan penutup bagi satu-satu ayat].
 Al- An'am 32- faasilahnya, afala ta'qilun

Walaupun kedua-dua ayat bercerita tentang tajuk yang sama iaitu tentang hakikat kehidupan dunia dan hakikat kehidupan akhirat, tetapi Allah menyampaikannya dalam struktur ayat atau uslub ayat yang berbeza dan terdapat 5 perbezaannya. Mari kita kaji kenapa dibezakan. Ini adalah keistimewaan Al-Quran. Bahawasanya Allah dengan segala sifat kesempurnaanNya tidak mungkin berfirman dengan kalimah berbeza atau dalam jumlah huruf berbeza pada setiap kalimah, atau berbeza di tempat kalimah (satu di depankan dan yang lain di belakangkan) dan sebagainya, melainkan maksud yang dikehendakiNya adalah berbeza. Tanpa memerhatikan segala uslub ini itu tanda mungkin pemikiran kita masih terlalu dangkal. Bersifat zohriyyun atau sabhi, iaitu umpama kita melihat sebuah rumah yang cantik dari luarnya, besar, berwarna biru, kemudian kita balik, apabila ditanya tentang rumah itu, kita hanya tahu besar, cantik, biru. Apabila ditanya apa isinya? kita tidak tahu. Adalah lebih bijaksana jika kita masuk kedalam rumah tersebut untuk mendapat maklumat yang lebih. Barulah kita tahu apa isinya, berapa biliknya, apa yang ada di dalam biliknya dan sebagainya. Demikian juga di dalam ayat, tanpa memerhatikan perbezaan struktur ayat ima strukturnya waima jumlah huruf dalam setiap kalimah, hatta memerhatikan letak satu-satu kalimat dalam satu-satu ayat, yang mana didahulukan dan yang mana dikemudiankan, semuanya memberi maklumat yang berbeza. Perlukan kepada penelitian, walhal di sanalah kadang-kadang maklumat yang Allah hendak sampaikan itu adalah lebih banyak daripada yang zahir. Inilah kelebihan dan keistimewaan Al-Quran yang boleh menyampaikan sesuatu maklumat bukan dengan menggunakan kalimat yang berbeza sahaja tetapi hanya dengan meletakkan kedudukan lafaz yang berbeza dalam satu-satu ayat atau menambah huruf dalam satu-satu kalimah atau mengurangi huruf dalam kalimah yang lain pun dapat membezakan maksudnya.

5.0] Kembali kepada perbezaan antara kedua-dua ayat diatas iaitu surah Al-Ankabut ayat 64 dan surah Al-An'am ayat 32;

Perbezaan pertama ialah adanya kalimah haazihi dan yang satu lagi tiada kalimah haazihi;
Surah Al-Ankabut ayat 64 ini ada kalimah haazihi hayatud-dunya dan ianya ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaiatu ayat 63 yang menceritakan tentang kehidupan bumi yang asalnya mati, kering, tandus, kenudian Allah turunkan hujan. Allah hidupkan bumi selepas matinya. Allah ceritakan hakikat kehidupan bumi sekarang. Selepas itu Allah kata, "Wama haazihil hayatud dunya"- kehidupan bumi. Seolah-olah  Allah kata, "Wahai hambaKu, tengok bumi dimana kamu tinggal, tengok dengan mata kepala kamu, dengar dengan telinga kamu, pegang dengan tangan kamu, hidu dengan hidung kamu, Ini adalah bumi. "Kamu nampak!". "Nampak!". Bagaimana keadaannya? Hidup atau mati? "Mati!". "Sekarang Aku limpahkan dengan air hujan, setelah disimbah dengan air hujan, bumi  tadi hidup subur, "Kamu nampak? Kamu tengok? "Ya, kami nampak dan kami tengok!". "Kamu boleh pegang, boleh rasa,". Setelah berlalu 1 bulan atau 1 tahun, atau 3 tahun dan seterusnya, pokok-pokok itu pun akan mati, akan reput, jadi gersang semula. Lalu Allah nyatakan, "Dan tiadalah kehidupan dunia ini (kerana sedang di depan kita, itu rahsianya kenapa ditambah kalimah haazihi) melainkan lahwun wa la'ibun. [Kalimah haazihi digunakan kerana kehidupan dunia sedang di depan mata kita dan kita disuruh menengok sendiri bahawa kehidupan dunia ini tidak ubahnya seperti tanah mati yang kemudian hidup dan kemudian mati pula. Berapa lama kita dapat menikmati taman yang berbunga indah itu?]

6.0]"Berapa lama musim bunga sakura yang indah?". Orang sanggup terbang beribu batu dan rela membayar beribu ringgit semata-mata ingin menikmati keindahan bunga sakura, namun setelah beberapa minggu, akan layu dan gugur, tidak kekal lama. Allah kata, "Inilah kehidupan dunia!".

7.0] "Berapa lama kecantikan bumi Turki diserlahkan dengan kecantikan bunga tulipnya?". "Sekejap jua, tidak sepanjang masa". Orang berduyun-duyun pergi kesitu ketika bunga tulip berkembang, kemudian bunga layu dan hilang keindahannya. Inilah hakikat kehidupan. Memang menyeronokkan, memang memuaskan tetapi jangka hayatnya sementara jua. Inilah yang Allah sebutkan kalimah haazihi, di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 yang menceritakan tentang kehidupan yang ada di hadapan mata kita yang bersifat sementara.

8.0] Berbeza dengan surah Al-An'am ayat 32 yang tidak ada penggunaan kalimah haazihi. Untuk lebih jelas lagi elok  diperhatikan dari ayat 30 sebelumnya lagi yang menceritakan tentang kehidupan akhirat yang menceritakan tentang azab itu benar, neraka itu benar,



Ini semuanya cerita akhirat, berlaku di akhirat. Allah ingatkan kepada mereka tentang dunia yang pernah mereka tinggal dahulu. "Apa ingatan Allah kepada mereka?". "Wa mal hayatad-dunya illa la'ibun wa lahwun". Yang bermaksud, "Dan tiadalah kehidupan dunia selain dari main-main dan senda-gurau belaka". "Kenapa tiada kalimah haazihi yang bermaksud ini?". "Kerana ini adalah cerita di akhirat. Orang itu sudah berada di neraka, di akhirat dan sedang diazab, dunia sudah tidak ada bagi mereka.

9.0] Perbezaan kedua ialah di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 ada kalimah lahwun wa la'ibun, berbeza dari segi susunan kalimat (tartibul-lafzi), susunan kalimat di dalam surah Al-An'am ayat 32 pula ialah la'ibun wa lahwun. Kita sorot kembali kuliah minggu lepas yang menyatakan bahawa lahwun adalah yang lebih merbahaya dan memperdayakan manusia kerana yang mendorongnya ialah walidul hawa yang berterusan tiada hentinya. Manakala la'ibun yang asal dari rasa suka dan didorong oleh walidur-rughbah yang tidak berterusan, dan ada hadnya. Yang lebih menyesatkan ialah lahwun yang didorong oleh hawa nafsu. Mereka yang sudah berada di neraka iaitu di akhirat,Allah mengingatkan bahawa di dunia dahulu, la'ibun wa lahwun. Berbeza dengan surah Al-Ankabut ayat 64 yang menceritakan cerita di dunia sekarang, Allah ingatkan hambaNya ketika mereka masih hidup di dunia supaya mereka berhati-hati menghadapi dunia kerana dunia ini lahwun yang lebih kuat memperdayakan manusia, supaya manusia didunia ini tidak masuk neraka. Allah kata "Berhati-hatilah dengan lahwun", iaitu Allah peringatkan yang besar dahulu baru dengan yang kecil. Jika kita hendak memberi amaran, kita beri alasan yang besar dahulu, iaitu ancaman yang paling besar dahulu kemudian baru alasan yang paling ringan.

10.0] Contoh peringatan," Nak!, jangan keluar nak, ini hujan lebat, petir menyambar, jangan keluar sekarang, sebab gelap". [Nota; Mudhorat jika disambar petir adalah lebih besar dari gelap, sebab itu disebut tentang petir dahulu]. Amaran yang paling ringan mungkin yang nombor 10, ialah mungkin seperti "Nak, jangan keluar  kerana sejuk".

11.0] Ada pun apabila seseorang itu telah terjerumus dan terpedaya, dan telah berada di alam akhirat, diingatkan pula yang ia terpedaya itu daripada yang ringan-ringan dahulu. Contohnya, "Jangankan dahulu kamu melanggar yang berat-berat, kamu melanggar yang ringan-ringan pun akan dibalas azab". Di akhirat, jangankan orang yang terpedaya dengan lahwun, orang yang terpedaya dengan la'ibun pun akan rugi. Sementara bagi mereka yang masih di dunia ini, Allah memperingatkan dengan yang berat-berat dahulu, tentang dunia ini yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk memperdaya penghuninya, dan ini menunjukkan sifat Allah Yang Maha Pengasih Penyayang memberi amaran dan peringatan supaya hambaNya merasa terkesan dan terselamat dari melakukan dosa.

12.0] Di akhirat, bagi mereka yang sudah terpedaya dan disiksa di dalam neraka, Allah tidak sebut yang berat-berat dahulu, tetapi yang ringan-ringan dahulu, maksudnya seolah-olah Allah berkata, " Wahai hambaKu, sekarang kamu susah di akhirat kerana dahulu semasa kamu di dunia, kamu telah terpedaya dengan lahwun. Jangankan terpedaya dengan lahwun, terpedaya dengan la'ibun pun teruk dan rugi. Jangankan melanggar yang besar, jika melanggar yang kecil pun ada azab dan siksa".

13.0] Perbezaan yang ketiga ialah, di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 ada kalimah wa innaddarul akhirah, manakala di dalam surah Al-An'am ayat 32 ada kalimah wa laddarul akhirah. Inna dan lam, kedua-duanya untuk menunjukkan taukid (penjelas, penegas), untuk menunjukkan sesuatu yang sungguh-sungguh. Hanyasanya lam boleh jadi makna sungguh atau penguat  atau sebagai ibtida' (pembuka ayat), iaitu lam taukid atau lam isti'nah. Manakala inna sentiasa digunakan sebagai taukid dan tidak digunakan untuk memulakan sesuatu ayat. [Nota; Dalam bahasa Arab, sesuatu ayat baru boleh dimulakan dengan lam iaitu lam ibtida'].

14.0] "Mana yang lebih kuat taukidnya antara lam dan inna?". Inna adalah lebih kuat taukidnya berbanding lam. Ketika Allah hendak memberitahu kita bahawa kehidupan yang sebenar itu bukan di dunia tetapi kehidupan itu ialah yang di akhirat. Allah gunakan kalimah inna, kenapa? Kerana ini kehidupan dunia, yang mana asalnya bumi gersang, kemudian turun hujan, lalu ditumbuhkan tumbuhan, cantik sekejap sahaja, kemudian mati semula. Jika kamu terpedaya dengannya, rugi. Sedangkan sesungguhnya negeri akhirat itu kehidupan yang sebenar-benarnya. Jadi untuk meyakinkan manusia, supaya manusia tidak terpedaya dengan kehidupan Ad-Dunya sekarang yang hanya seperti musim bunga sakura, Allah kata ,"Jangan terpedaya dengan kehidupan dunia kerana di akhiratlah sebenar-benarnya hidup".

15.0] Berbeza dengan surah Al-An'am ayat 32, dimana orang ini telah terpedaya dengan kehidupan di dunia dahulu dan sekarang mereka menikmati akibatnya, yakni masuk neraka. Untuk menambahkan lagi kekecewaannya Allah beritahu, "Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang bertaqwa. Dahulu kamu tidak bertaqwa,". Ayat tempelakan yang hanya untuk menambahkan kesengsaraan dan kekesalan mereka.

16.0] Perbezaan yang keempat ialah, di dalam surah Al-Ankabut  ayat 64, terdapat kalimah la hiyal hayawan, kenapa bukan kalimah Al-Hayat? Manakala di dalam surah Al-An'am terdapat kalimah khairulillazina yattaqun. Perbezaan ini ialah supaya orang yang masih hidup jangan terpedaya dengan kehidupan dunia, sebab ianya bukan kehidupan yang sebenarnya. Kehidupan yang yakni diakhirat nanti. Sementara di dalam surah Al-An'am ayat 32 pula, Allah memberitahu kepada orang-orang kafir yang sedang disiksa, "Bahawasanya kehidupan akhirat yang kekal ini adalah kebaikan bagi yang bertaqwa, malangnya kamu tidak bertaqwa",

17.0] Contohnya, lihatlah ketika  budak sekolah datang untuk mengambil keputusan peperiksaan mereka. Sebelum mendapat keputusan, gelaknya sama, gembiranya sama, cerianya sama. Tetapi setelah masing-masing menerima keputusan, ada yang senyum, ada yang gelak, ada yang melompat-lompat, ada yang sampai menconteng-conteng baju, ada yang menyendiri sambil menangis, menutup mukanya. Kemudian ada seorang guru datang dan berkata, "Bukankah cikgu sudah katakan bahawa kejayaan itu hanya akan dapat bagi yang rajin belajar?". Ucapan guru itu menambahkan kekecewaannya atau mengubati hatinya?. "Tentu menambahkan kekesalannya", dan samalah senario itu dengan orang-orang yang sedang diazab di neraka.

18.0] Sementara bagi mereka yang belum mengambil peperiksaan lagi dan gurunya menasihati mereka seperti ini, "Ingat, kejayaan kamu sebenarnya untuk menguji samada kamu faham atau tidak, untuk menguji kemampuan kamu, atau kamu hanya berlagak pandai, semuanya hanya akan terserlah ketika kamu hadapi peperiksaan. Bukannya sekarang, mungkin sekarang  kamu nampak pandai, tetapi hati-hati, kamu semua kena tunjukkan kehandalan kamu di bilik peperiksaan". Semua itu diberitahu kepada semua murid dan dan belum ada yang kecewa, belum ada yang bersedih, dan belum ada yang gembira sebab baru diberitahu. Setelah itu ada murid yang rajin, dan ada murid yang malas. Murid yang rajin berjaya dan murid yang malas gagal, dan menangis, menyesal. Semasa menangis itu gurunya dahulu itu datang dan berkata, "Cikgu sudah kata bahawa kejayaan ialah untuk orang yang rajin". Dan kalau disambung boleh jadi panjang lagi, "Bukan macam kamu". Senario itu samalah ketika di akhirat Allah beritahu, "Bukankah aku sudah kata bahawa kehidupan akhirat itu kebaikan bagi orang yang bertaqwa, bukan bagi kamu yang kafir, sekarang rasakan !". Pemberitahuan Allah kepada mereka itu hanya menambahkan rasa kecewa dan sakitnya kerana azab di akhirat ini bermacam-macam bentuknya.

19.0] Kata Dr. Yusuf Al-Qordhowi, di akhirat ada azab rohani dan azab jasmani, azab zohiriah dan azab batiniah. Demikian juga dengan nikmat syurga, ada nikmat batiniah dan zohiriah. Nikmat zohiriah ialah seperti dapat memakan buah-buahan dan daging burung, pakai baju sutera tebal dan nipis yang berwarna hijau, pakai gelang emas, ada pelayan, duduk bersandar, dibawahnya ada air mengalir dan sebagainya. Kemudian mereka gelak-gelak, bercengkerama, ada hurun 'ain. Itu nikmat zohiriah.

20.0] Contoh nikmat batiniah pula ialah mereka tidak mendengar kata-kata dosa dan lagho, yang ada kata-kata salamun-salama (selamat-selamat), mereka bebas dari rasa takut dan sedih dan tidak seorang pun yang ingin mencari tempat lain sebab di syurga tidak akan bosan atau jemu. Berbeza dengan di dunia ini, jika semewah manapun tempat tinggal, atau sesedap manapun makanan pasti akan jemu juga nanti. Contohnya makanan yang lazat sekali pun jika makan makanan yang sama sehari 3 kali, selama 3 bulan berturut-turut, akan timbul jemu dan ingin bertukar selera, tetapi di syurga nanti tiada keinginan untuk mengganti dan itu nikmat batiniah.

21.0] Di neraka begitu juga, ada azab zohiriah seperti setiap kali kulitnya melecur dibakar api neraka, akan diganti kulitnya yang baru supaya mereka merasai azabnya berterusan, atau pun setiap kali mereka ingin keluar dari neraka akan dibenam balik, dipukul, terburai perut dan di beri minum air panas menggelegak. Ada juga azab batiniah seperti dicaci-maki oleh malaikat azab dan sebagainya. Contohnya apabila kita sakit, jika ada kawan datang melawat dengan memberi kata-kata perangsang, "Sabarlah, saya turut simpati, saya pun tidak boleh tidur memikirkan tentang kamu, dan berdoa untuk kamu", tentunya timbul rasa lega dan kurang sedikit penanggungan sakitnya. tetapi jika ada kawan yang berkata, "Rasakanlah, ini pun dikira tidak teruk, tetapi entah-entah besok lagi teruk". Bagaimana rasanya ditempelak begitu? Itu namanya azab batiniah. Jadi apabila Allah memberitahu kita dalam surah ini bahawasanya negeri akhirat kebaikan bagi orang yang bertaqwa, ini bukan tabsyir, bukan berita gembira, jika kita baca keseluruhan ayat, itu namanya azab batiniah untuk orang-orang kafir. Ayat ini bukan untuk orang yang hidup, tetapi untuk orang yang sudah mati. Samalah seperti guru yang berkata kepada pelajar yang gagal tadi, bukan untuk simpati tetapi untuk lebih menyakitkan hati.

22.0] Berbeza sekali jika ada ibubapa yang sepatutnya memberi  perangsang seperti ini, "Tidak apa, walaupun kamu gagal, nampaknya otak kamu bukan jenis otak akademik, mungkin lebih sesuai dengan kerja bengkel, nanti belajar kemahiran dan tahun hadapan nanti kamu buka bengkel kapal-terbang". Walaupun gagal masih diberi perangsang. Tidak seperti guru tadi yang kata, "Bukankah betul apa yang cikgu cakap tempuhari?, dan nampaknya orang yang seperti kamu ini tidak ada peluang untuk berjaya. Beratus-ratus peluang pekerjaan di luar sana menunggu orang-orang yang berjaya". Itu bukan berita baik untuk budak itu, bukan tabsyir tetapi sebagai tempelakan.

23.0] Keratan ayat ini ditujukan Allah kepada orang kafir ketika merasai azab Allah dan bunyinya yang nampak cantik ini merupakan hanya untuk menambahkan rasa kesal dan menderita. Ayat ini seolah-olah untuk orang yang hidup tetapi tidak. Oleh itu kita kena betul-betul memahami ayat-ayat seperti ini.

24.0] Ada pun  yang hayawan, untuk yang hidup, jangan terpedaya dengan keindahan bunga sakura, dengan keindahan dunia yang hanya  beberapa waktu sahaja dan sangat memperdayakan. Ketahuilah sesungguhnya negeri akhirat itu sungguh dianya Al-Hayawan. 2 kali kalimah sungguh itu digunakan untuk yang masih hidup, tidak ditujukan kepada orang kafir atau orang berdosa di akhirat atau di alam barzakh.

25.0] Bezanya antara kalimat Al-Hayat dengan Hayawan;
Al-Hayat  di dalam Al-Quran diulang 145 kali dan semuanya dikaitkan dengan dunia, tiada Al-Hayatul Akhirah. Kehidupan akhirat disebut Al-Hayawan bukan Al-Hayat dan Al-Hayawan disebut 1 kali sahaja di dalam Al-quran iaitu untuk menyatakan tentang kehidupan yang sempurna di akhirat. Allah sebut 1 kali sahaja, ertinya jangan cari yang lain, kehidupan akhirat hanya satu itu. Kalau gembira atau pun susah, ianya abadi, selama-lamanya, berbeza dengan Al-Hayat di dunia. Contohnya, berapa lama seseorang itu menikmati kejayaan, walhal berusahanya cukup lama. Pelari terpantas di dunia, Usain Bolt, kepantasannya berlari 9.8 saat/100 meter. sedangkan kita mungkin 9 minit/100 meter. Diiktiraf disukan Olympik. Pertanyaannya, "Berapa lama dia berlatih untuk mendapatkan juara itu?". Olympik diadakan setiap 4 tahun sekali. Gembiranya dia semasa diumumkan juara, masa itu adrenalinnya memuncak,. "Berapa lama dia merasakan gembiranya menjulang medal itu?. "Sebulan?, seminggu?, sejam?, 2 jam?. Yang pasti tidak lama, sekejap sahaja. Bandingkan dengan berapa lama dia telah berlatih?, tidurnya?, makannya?, semua dijaga. Berapa banyak yang telah dilaburkan untuk latihannya, untuk membayar doktor pakarnya, untuk membayar juru latihnya, berapa ramai yang melatihnya?. 4 tahun dia telah laburkan untuk mendapat kepuasan keseronokan memuncak yang hanya sekejap itu.

26.0] Kenapa kita tidak merebut tawaran Allah untuk mendapatkan syurga. Kenapa tidak lebih menggiurkan?. Allah menyuruh kita bersusah-payah, melawan hawa nafsu iaitu walidul hawa yang menghasilkan lahwun dan walidur-rughbah yang menghasilkan la'ibun. Berapa lama kita melawan? Selama kita hidup, itu pun bukan 24 jam sehari semalam, tolak masa tidur kita yang tidak perlu melawan lahwun dan la'ibun. Katakan tidur kita yang formal, selama 6 jam setiap hari, ditambah dengan tidur yang tidak formal, seperti tertidur ketika di dalam kelas atau di dalam kereta yang ada pemandu lain. Jika katakan orang yang hidup selama 70 tahun pun, tidak selama 70 tahun penuh susahnya, lagi pun kita hanya diperintahkan untuk solat 5 waktu sehari semalam, puasa 1 bulan setiap tahun, ziarah, umrah, mengerjakan haji dan berzakat 2.5% setahun. Katakanlah kita ambil yang wajib sahaja, sedikit sangat dan mudah tuntutannya dari kita. Tetapi kenapa susah sangat untuk patuhinya? Bandingkan jika berjaya dapat masuk dan kekal di dalam syurga yang bukan sekejap, dapat merasai kemuncak kejayaan kepuasan yang selamanya dan abadi. Yang mana yang lebih berbaloi, kita bersusah sesaat tetapi bahagia selamanya atau bersusah 4 tahun dan kemudian menikmati kejayaan yang dirasakan sekejap sahaja?. Tetapi itulah dunia yang dikejar-kejar orang. Apabila melihat orang ada koleksi kereta yang banyak dan bermacam-macam, hati tergiur. Padahal orang itu tiada masa pun untuk menggunakan  kereta-kereta itu, paling tidak ketika hendak tidur terbayangkan saja keretanya yang berjumlah 631 buah itu.

27.0] Ini Allah beri tawaran kepada kita, disuruh kita berpenat-lelah hanya sekejap di dunia, jika menderita susah pun tidak selamanya akan berakhir juga dan apabila Allah terima, kita akan diberi balasan bahagia yang selama-lamanya, sebagai hayawan di akhirat, disyurga. Masa kita hidup di dunia ini samada kita susah atau pun kita senang cuma sekejap sahaja sebab semua tidak kekal dan akan berakhir. Kesusahan dan kesenangan yang abadi hanya akan dirasai di kehidupan akhirat. Oleh itu sambutlah tawaran Allah yang jauh lebih menggiurkan daripada tawaran olympik.

28.0] Kita Muslim dan semua jemaah Muslim, dan kita berbicara tentang Islam , tentang keluarga kita sendiri dan tidak seharusnya ada yang tersinggung. Katakan kita bekerja setelah belajar dengan tajaan, dari awal bekerja sehingga pencen, pada umur 60 tahun. Agaknya mana yang lebih lama, masa bekerja atau masa menikmati imbuhan pencen? Lazimnya masa menikmati pencen tidak selama masa bekerja atau ada yang tidak sempat menikmatinya pun tetapi telah dipanggil kembali mengadap Allah. Itulah dunia yang seakan tidak berbaloi untuk diburu terus-terusan.

29.0] Berapa lama kepuasan orang yang mendaki Banjaran Himalaya? Tetapi tahukah kita berapa lama dia telah berlatih menghadapi ujian dan sanggup hadapi risiko mati, samada mati kerana sejuk atau mati kerana terjatuh. Kalau orang sanggup mati hanya untuk mendapatkan kepuasan dikemuncak Himalaya, untuk memacak bendera, kenapa jadi susah dan tidak menarik, apabila Allah tawarkan syurga dengan hanya perlu bersusah sedikit dan istiqomah melakukan yang wajib dan ditambah dengan ibadah yang sunat?. Memanglah akan merasa penat, perit, sakit, tetapi mesti rajin dan penuh keyakinan akan balasan baik nanti.

30.0] Contohnya jika Allah kata, "Bercakap jujurlah kamu!". Nampak sederhana, tetapi tidak mudah dilaksanakan jika kita hidup ditengah masyarakat yang semuanya berbohong. Lainlah jika kita tinggal di dalam masyarakat yang semuanya jujur dan baik belaka, itu senang. Tetapi sesusah mana pun hidup ini sekejap sahaja. Paling tidak akan ada orang yang  tidak bersetuju dengan kita, mengkritik, atau menuduh kolot atau ekstrimis, kalaulah kita ingin hidupkan cara Islam. Asalkan kita tidak dituduh gila, Nabi saw pun dituduh begitu. Orang yang dituduh gila tidak akan jadi gila sebaliknya orang yang menuduh  itu yang akan menjadi sebaliknya. Apa yang perlu kita lakukan ialah terus istiqomah dalam segala usaha baik kita dan ganjaran syurga menanti. Kerja akhirat ini berbaloi dan untungnya sangat besar berbeza dengan kehidupan dunia, al-hayatud-dunya yang tidak berbaloi langsung. Kalau kita bandingkan dengan jerih payah yang kita berikan, sebab itu Allah ingatkan kepada kita yang masih hidup dengan surah Al-Ankabut ayat 64 ini. Ada pun bagi yang sudah meninggal atau kita yang belum mati pun elok manafaatkan surah Al-An'am ayat 32 ini.

31.0] Perbezaan kelima bagi kedua-dua ayat diatas ialah, di dalam surah Al-Ankabut ayat 64, faasilahnya ialah lau kanu ya'lamun (kalaulah mereka mengetahui), iaitu di akhirat hayawan, kehidupan yang abadi manakala didunia hanyalah Al-Hayatud-Dunya yang sementara. Kalaulah kamu tahu dan faham, kamu pasti akan utamakan akhirat, tetapi kalau kamu tidak faham kamu akan utamakan kehidupan dunia. Sementara di dalam surah Al-An'am ayat 32, faasilahnya ialah afala ta'qilun (maka apakah kamu tidak menggunakan akal). Lagilah bertambah sakit dan tersiksa jiwa mereka yang sudah mati dan berada di alam akhirat. Bukan Allah perintahkan mukhottob untuk lakukan atau untuk berfikir lagi, tetapi samalah seperti keadaan guru yang menempelak muridnya yang gagal di atas. Menempelak lebih merupakan cacian, hinaan, supaya rasa sakit hati yang bertambah-tambah.

32.0] Perbezaannya surah Al-Ankabut ayat 64 ialah untuk kita semua yang masih hidup, jika kita tidak mengambil berat, na'uzubillah, apabila berpindah ke alam barzakh maka akan berlakunya keadaan seperti di dalam surah Al-An'am ayat 32.Oleh itu kita kena tumpukan kepada surah Al-Ankabut ayat 64 dahulu. Hamba-hamba Allah yang telah pergi meninggalkan kita berada di alam barzakh, ada yang berlaku bagi mereka seperti didalam surah Al-An'am ayat 32 ini dan mereka sedang tersiksa, bukan sahaja disegi zohiriah tetapi juga disegi batiniah.

33.0] Pemahaman kita kena luas. Apabila mukhottob berbeza, kontak berbeza, walaupun tajuknya sama iaitu tentang kehidupan dunia dan akhirat, tetapi menggunakan uslub berbeza, samada berbeza susunannya, atau kalimahnya, atau jumlah kalimahnya, pastilah ada pengajaran lain yang Allah ingin sampaikan. Yang Allah kata Al-Hayawan, maknanya kehidupan dunia hanya hayat (hidup), bahawa seperti yang kita telah pelajari bahawa hidup ini 2 kali dan mati pun 2 kali. Rujuk surah Al-Baqarah ayat 28;

Kita mula dari mati - maut (sebelum kita dilahirkan), kemudian hidup - hayat, kemudian mati - maut (masuki alam barzakh), kemudian hidup -hayat (khulud la maut- hidup tanpa mati di akhirat). Setiap kali kita mati, kita akan hidup semula di hujungnya. Cucu-cicit kita mungkin sekarang sedang mati sebab belum lahir lagi. Imam Ali bin Abu Talib berkata, "Setiap kali aku memikirkan kematian aku temui kehidupan selepasnya tetapi apabila aku fikirkan kehidupan yang sekarang aku temui kematian". Kehidupan dan kematian bagi manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. "Baik, sekarang, yang mana yang lebih melapangkan hati, samada memikirkan kehidupan atau kematian?". Kalau mahu hati lebih lapang, lebih banyak fikirkan kematian, kerana kalau orang yang lebih memikirkan kehidupan akan kecewa, apa lagi jika ketika dia sedang belum bersedia, belum puas menikmati kehidupan, padahal dia semakin mendekati kematian.

34.0] Pokok yang baru ditanam dan tumbuh membesar kemudian mati, telur ayam yang menetas mengeluarkan anak ayam yang hidup membesar, kita bagi makan, semakin besar, kemudian kita sembelih, mati. Doktor-doktor pakar yang dikatakan kononnya boleh menyelamatkan nyawa orang juga mati. Sedangkan hati apabila disebut kematian, tidak bersedia dan tidak suka. Cuba kita fikirkan, orang tua kita yang sudah tiada, yang sudah mati, telah berada di alam kubur yang hanya sebagai tempat ziarah sementara, transit yang tidak kekal kerana dihujung kematian ialah kehidupan yang kekal. Secara psikologi , hati lapang apabila fikirkan tentang kehidupan dan menjadi takut apabila fikirkan tentang kematian, oleh itu supaya hati akan jadi lebih tenang dan lapang, rajin-rajinlah berfikirkan tentang kematian supaya hati tidak menderita. Janganlah terlalu memikirkan tentang kehidupan dunia, contohnya, kawan sudah ada sesuatu tapi saya tidak ada, macammana, macammana?. Ada pun bagi orang yang sudah meninggal surah Al-An'am ayat 32 sedang dialaminya dan kita yang membacanya sekarang, anggaplah Allah sudah beritahu kepada kita seolah-olah soalan yang dibocorkan tentang akhirat. Apabila hati telah bersedia hadapi apa sahaja, hatta kematian sekali pun, maka hati akan tenang. Makan roti canai pun sedap, naik kereta kancil 7 orang pun seronok. Tetapi jika hati cemas, sakit, sedih, hidup didalam peti-ais pun badan berpeluh, naik bas seorangan pun rasa sesak. Nabi saw bersabda, "Banyakkanlah kamu mengingati penghancur kelazatan hidup iaitu mati". Hati lapang kerana matlamat hidup yang jelas. Moga-moga diberkati Allah. Allahumma aamiin.


































1 comment: