1.0] Sambungan dari kuliah lepas, rujuk surah Al-Qasas di hujung ayat 78 yang bermaksud, "..dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka". Seolah-olah ayat ini menunjukkan tidak ada pertanggungjawaban diakhirat. Berbeza pula dengan ayat didalam surah Al-'A'raf ayat 6 yang bermaksud, "Maka pasti akan Kami tanyakan kepada umat yang telah mendapat seruan (daripada rasul-rasul) dan Kami akan tanya pula para Rasul".
Begitu juga dengan surah Al-Hijr ayat 92 dan 93 yang bermaksud, "Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan bertanya kepada mereka semua, tentang apa yang telah mereka lakukan dahulu". Tiada yang terlepas, semua akan ditanya tentang 'amal yang telah dilakukan.
Kedua ayat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa;
i) Seseorang tidak akan dapat menanggung dosa bebanan orang lain. Ini bermakna didalam agama kita pertanggungjawaban di akhirat bersifat nafsi-nafsi. Hanya dosa seseorang akan bertambah jika ia bukan sekadar melakukan dosa tetapi juga menyebabkan orang lain berdosa kerananya. Orang yang sesat akan menanggung dosa kesesatannya dan juga dosa orang yang disesatkannya dan ini dinamakan sunnah sayyiah.
ii) Selari dengan hadith Nabi saw bahawa sesiapa yang menunjukkan agar orang lain melakukan kebaikan akan mendapat ganjaran sebanyak ganjaran yang didapati oleh orang yang melakukan kebaikan itu tanpa dikurangi.
iii) Hidup ini mudah untuk mencari pahala atau dosa dan dalam situasi lain pula mencari pahala dan dosa juga adalah memenatkan.
3.0] Ayat yang mengatakan bahawa tiadanya persoalan diakhirat sering disalah fahami, sebagaimana didalam surah Ar-Rahman ayat 39 iaitu yang bermaksud, "Maka pada hari itu tidak ditanya tentang dosanya manusia dan tidak pula jin". Sebenarnya ini adalah contoh ayat tasyabbuh iaitu ayat yang mengelirukan dan adalah sangat bahaya ayat-ayat tasyabbuh ini. Ia idlal (menyebabkan kesesatan), jika tidak dijelaskan sebaik-baiknya terutama bagi anak-anak muda yang terdedah dengan ideologi mediamassa atau yang belajar tanpa berguru. Sebenarnya tiada pertentangan pun didalam ayat-ayat Al-Quran ini tetapi ia adalah mengikut situasi dan sebab berbeza. Jawapan bagi ayat 39 dalam surah Ar-Rahman diatas ialah berdasarkan situasi masa itu iaitu saat baru mula Qiamat Qubra, saat kehancuran alam semesta dan belum ada pertanyaan tentang 'Amal kerana belum tiba masa pertanyaan dan perbicaraan. Contohnya pertanyaan tentang sesuatu yang haq orang lain, jika diambil, akan disoal, walaupun bagi seorang yang mati syahid tetap akan disoal dahulu jika telah mengambil haq orang lain walau sekadar bernilai dua dirham.
4.0] Pertanyaan ada dua jenis iaitu istifham (bertanya untuk mahu faham) dan isti'lam (bertanya untuk mahu tahu). Kita mahu tahu sesuatu yang kita tidak tahu oleh itu kita bertanya. Berbeza dengan Allah Yang Maha Mengetahui. Oleh itu di mahkamah akhirat nanti, Allah tidak bertanya lagi kerana Allah memang sudah Mengetahui, Allah terus minta pertanggungjawaban. Seperti juga didalam surah Al-Mujaadilah ayat 1 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat".
5.0] Maha Suci Allah, Yang Maha Mengetahui tetap adakan Hisab dan Mizan diakhirat untuk lebih menunjukkan keadilanNya.
6.0] Hisab di akhirat ada dua jenis iaitu Hisab 'Ardhun (kiraan mudah) dan Hisab Munaaqosah (kiraan susah). Daripada Imam Bukhari dan Muslim, "Sesiapa yang hisab diakhirat munaaqosah (banyak sangat) hingga yang kecil-kecil tiada tertinggal, itu tanda akan mendapat celaka. Na'uzubillah. Apa lagi jika terdapat dosa-dosa yang lebih besar. Manakala dengan sifat Allah, Ghafuurun dan 'Afuwwun, seseorang itu boleh jadi mendapat Hisaaban Yasiiran (hisab mudah) atau Hisaaban 'Ardhun. Kalimah 'affuwwun atau maaf adalah lebih tinggi darjatnya dari kalimah ghafuurun atau ampun. 'Afuwwun bermakna memaafkan, memadamkan atau membersihkan segala dosa kesalahan manakala ghafuurun iaitu ampun bermakna menutup dosa dan kesalahan. Seseorang yang nanti didedahkan dosa-dosanya dan kesalahannya, kemudian ditutup balik dan dipersilakan masuk syurga kerana telah diampunkan oleh Allah. Kedua-duanya adalah nikmat yang hebat dari Allah untuk hambaNya. In shaa Allah, urzuqna, aamiin.
7.0] Tidak seorang pun yang dimasukkan kedalam syurga kecuali ditunjukkan dahulu tempatnya di neraka, begitu juga ahli neraka sebelum dihumban ke neraka, ditunjukkan dahulu tempat yang sepatutnya untuk dia di syurga dan ini ialah untuk lebih memberi impak syukur atau kesal dihari akhirat itu. Oleh itu jangan menunda-nunda untuk bertaubat, mohon Kemaafan dan Keampunan dari Allah. Juga jangan sekali-kali ada suuz dzon (buruk sangka) terhadap Allah.
8.0] Surah Al-Ankabut ayat 14,
Sekali imbas nampak semacam tiada keserasian dengan ayat sebelumnya, tetapi sebenarnya ini ayat tasliah iaitu ayat hiburan untuk Nabi Muhammad saw dan umatnya, memberitahu tentang kisah Nabi Nuh as yang tinggal dan berdakwah kepada kaumnya dalam masa yang sangat lama iaitu selama seribu tahun kurang lima puluh tahun.
9.0]Dalam ayat ini ada kalimah yang perlu dijelaskan dari segi bahasa iaitu kalimah sanah dan 'aaman yang kedua-duanya membawa makna tahun. Penggunaannya didalam Al-Quran seperti didalam surah Yusuf ayat 47 iaitu digunakan kalimah sinin bagi tahun. Ayat itu yang bermakna, "Dia (Yusuf) berkata, "Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa". Kemudian didalam surah Yusuf ayat 49 pula digunakan kalimah 'aamun bagi tahun. Ayat yang bermakna, "Setelah itu akan datang tahun dimana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur). Tahun-tahun sinin bermaksud tahun susah manakala tahun-tahun 'aamun bermaksud tahun-tahun senang.
10.0] Allah utuskan Nabi Nuh as 1,000 tahun untuk berdakwah, iaitu 950 tahun (sanah) dalam susah dan 50 tahun ('aamun) dalam senang. Taufan membinasakan kaumnya yang zalim termasuk isteri dan anaknya. Manakala Nabi Nuh as bersama kaumnya yang beriman diselamatkan didalam kapal. Oleh itu sempatlah Nabi Nuh as berdakwah dalam keadaan senang-lenang pula selama 50 tahun bersama kaumnya yang beriman itu.
11.0] Nabi Muhammad saw berdakwah 13 tahun di Mekah dalam keadaan susah payah, kemudian setelah pembukaan Kota Mekah (Fathul Mekah) barulah Nabi saw dapat berdakwah dengan senang dan kemudian tidak lama selepas itu Nabi saw pun wafat.
12.0] Hadith daripada Anas, sanad hasan, menyatakan bahawa Malakul Maut datang menemui Nabi Nuh as dan berkata, "Wahai Nabi yang paling panjang umurnya, wahai Nuh, bagaimana kamu dapati pengalaman hidup didunia?" Jawab Nabi Nuh as ,"Wahai Malakul Maut, aku dapati seperti aku masuk kerumah yang ada dua pintu, masuk sekejap ditengah-tengah rumah kemudian keluar melalui pintu yang satu lagi". Umurnya yang 10 abad lebih dirasakan sekejap apabila dibanding dengan masa alam akhirat, apatah pula umur kita yang rata-rata hanyalah diantara 60 tahun ke70 tahun sahaja, tentulah sangat sekejap berbanding kehidupan akhirat nanti.
13.0] Kisah Nabi Nuh as banyak terdapat didalam Al- Quran dan dia adalah Nabi pertama yang meluruskan Tauhid. Moga bermanafaat. Baarokallah.
No comments:
Post a Comment