Tuesday, January 12, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 12-13) Kuliah 15- Dosa


1.0] Surah Al-Ankabut ayat 12;

Tafsiran umum ayat ini ialah tentang cara orang kafir menarik dan mengajak orang beriman supaya kufur kembali dengan cara menyesatkan dan meyakinkan bahawa mereka akan menanggung segala dosa kesalahan orang yang mengikut mereka. Semua itu sebenarnya hanyalah satu fitnah dari orang kafir. Allah berfirman, "Sedangkan mereka bukanlah orang-orang yang dapat menanggung atau memikul walau sedikit pun dari kesalahan orang lain. Seseorang hanya dipertanggungjawabkan atas kesalahan sendiri".
2.0] Pendapat yang mengatakan bahawa apabila seseorang isteri berdosa maka suami yang akan tanggung dan anak yang berdosa maka ibubapa yang akan tanggung adalah tidak tepat jika pihak yang berhaq iaitu suami dan ibubapa itu telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya.
Contohnya: Nabi Lut as yang telah melakukan tugas sebagai suami dengan sempurna adalah terlepas dari mendapat siksa Allah walaupun isterinya telah kufur. Begitu juga dengan Nabi Nuh as yang telah berusaha menasihati anaknya yang tetap kufur, Nabi Nuh as terlepas dari balasan siksa Allah.
3.0] Orang kafir cuba menyesatkan orang beriman dengan fitnah sedemikian. Ketahuilah bahawa fitnah itu lebih besar dari membunuh dan dinyatakan didalam surah Al-Baqarah ayat 191, "Dan fitnah itu lebih kejam dari membunuh." Terdapat juga didalam surah Al-Baqarah ayat 217, "Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) dari membunuh". Didalam kedua-dua ayat diatas , fitnah yang dimaksudkan ialah bermaksud menyesatkan, salah istidlalnya, berbeza dengan maksud biasa didalam bahasa melayu dimana kalimah fitnah digunapakai seperti didalam surah Al-Humazah iaitu untuk perbuatan pengumpat dan pencela.
4.0] Rujuk Surah Faathir ayat 18 yang bermaksud, "Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang dibebani dosa yang berat mahukan orang lain untuk memikul bebannya sekali pun, dia tidak akan dipikulkan sedikit pun meski pun yang mempunyai hubungan (kaum kerabatnya)".
5.0] Dalam syariat samawi (dari langit) khasnya dalam syariat Islam, bahawasanya seseorang tidak akan disiksa dengan dosa orang lain banyak dijelaskan didalam nas-nas Al-Quran. Contohnya terdapat didalam surah Al-Baqarah ayat 286, yang bermaksud, "Baginya pahala  daripada kebaikan yang telah dia usahakan dan keatasnya dosa daripada kejahatan yang telah dia lakukan".
6.0] Contoh-contoh lain ialah seperti yang terdapat didalam surah Al-An'am ayat 164, surah Al-Isra' ayat 15, surah Faathir ayat 18, surah Az-Zumar ayat 7 dan surah An-Najm ayat 38. Ayat "Wala 'ala taziru waaziratun wizra ukhra",yang bermaksud, "Dan tidak memikul seseorang yang melakukan dosa-dosa orang lain". Diulang sebanyak 5 kali di dalam Al-Quran.
7.0] Surah Al -Ankabut ayat 13;




7.1] Rujuk juga surah An-Nahl ayat 25, yang bermaksud, "Supaya mereka menanggung bebanan mereka sepenuhnya di Hari Qiamat dan sebahagian dosa-dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tanpa pengetahuan orang itu. Ingatlah sangat buruk dosa yang mereka pikul".
Jelas  terdapat keadaan berbeza didalam  surah Al-Ankabut ayat 12 dengan ayat 13.
7.2] Bagi seseorang yang sesat, dia menanggung dosanya sendiri, kemudian jika dia menyesatkan orang lain, dia juga mendapat dosa kerana menyesatkan dan menanggung juga dosa orang yang disesatkan, manakala orang yang disesatkan mendapat dosa atas kesesatannya.
8.0] Seperti didalam sistem MLM, iaitu sesiapa yang memulakan sesuatu atau membudayakan sesuatu samada yang baik atau yang tidak baik (sunnah hasanah atau sunnah sayyiah) akan mendapat ganjaran pahala atau dosa berterusan jika menjadi ikutan orang.
Contoh: 
i) Anak Adam yang pertama membunuh mendapat  saham dosa dari setiap pembunuhan sehingga kehari ini.
ii) Dalan tahun 70an, wanita belum biasa pakai tudung, siapa orangnya yang telah membudayakannya hingga kehari ini mendapat saham pahala yang berterusan.
iii) Jika ada sesiapa yang mula menghidupkan budaya mula menulis kalimah In syaa Allah di dalam kad undangan, tentulah sangat baik kerana Nabi saw sendiri ditegur kerana lupa mengucapkan kalimah itu untuk sesuatu rancangan masa depan.
iv) Jika boleh dihidupkan semula sunnah hasanah untuk melaungkan azan sebelum subuh sebagai penggerak dari tidur atau petanda bagi orang yang bersahur dan kemudian baru diikuti dengan azan subuh, adalah sangat baik dan tidaklah dengan bacaan Al-Quran sebelum subuh seperti sekarang yang sebenarnya bukan amalan sunnah.

9.0] Dalam Sunan Al-Qubra, daripada Imam An-Nasaei, "Tiba-tiba datang kemajlis kami satu kumpulan orang miskin, pakaian compang-camping, hampir telanjang, tanpa alas kaki, kebanyakan dari suku Mudhor. Wajah Nabi saw berubah sedih melihat orang-orang susah itu. Nabi saw terus masuk kerumahnya untuk mencari apa-apa yang boleh disedeqahkan, namun tiada dan kebetulan tiba waktu solat, Nabi saw pun bersolat jemaah dan kemudian berkhutbah, "Wattaqullah, hendaklah satu diri itu melihat apa yang dia telah lakukan untuk hadapi hari esok".
9.1] Para sahabat yang sangat terang matahatinya pun bersegera berlumba-lumba bersedeqah untuk orang-orang yang miskin itu sehingga terhimpun dengan banyak berbagai-bagai sedeqah. Wajah Nabi saw kelihatan seperti hilal iaitu seperti anak bulan yang bercahaya lantaran sangat gembiranya.
9.2] Oleh itu perlu berhati-hati apabila membuat sesuatu, kerana akan menjadi ikutan. Perlulah mengikut sunnah hasanah supaya mendapat pahala jariah ( pahala berterusan).
10.0] Tentang sunnah hasanah dan sunnah sayyiah ini, ada dipaparkan contohnya didalam satu komik yang bertajuk Dialog antara Tuan guru dan Paderi. Paderi itu bernama Antonius Widuri. Selepas berdialog, ketua Paderi itu memeluk Islam dengan mengambil nama Antonius Muslim Widuri. Beliau lantas bertanya bagaimana cara untuk bertaubat. Lalu disuruh oleh Tuan guru itu supaya dia  memuslimkan kembali orang-orang yang telah diKristiankannya.
11.0] Ada satu hadith soheh, riwayat Muslim, daripada Saidatina Aisyah r. anha dan juga daripada Ibnu Umar tentang tangisan ahli keluarga terhadap simati. Daripada pendapat Ibnu Umar, sesungguhnya mayit itu sungguh akan diazab dengan tangisan ratapan ahli keluarganya. Aisyah ra telah membetulkan maksud sebenarnya hadis itu tanpa menuduh Ibnu Umar berbohong, katanya, "Nabi masa itu diberitahu ada seorang Yahudi yang telah meninggal dan disiksa dalam taman neraka, manakala keluarganya meratap,  menangis. Itu adalah dua situasi yang tidak ada kena mengena. Nabi saw juga bersabda, "Tidakkah kamu mendengar bahawa Allah tidak akan menyiksa seseorang dengan sebab airmatanya tetapi akan disiksa kerana mulutnya". Simati telah hilang taklif, dan kewajipan adalah kepada yang hidup.

12.0] Manusia berubah, nilai-nilai berubah. Ustaz meluahkan harapan semoga dalam proses pengurusan kematian tidak akan berlaku package yang semakin meninggalkan segala sunnah hasanah demi mengejar keuntungan kewangan. Juga perilaku ahli waris dalam  menghadapi situasi kematian ahli. Dimana lagi untuk dapat menyedarkan tentang kematian jika dikubur pun tidak dapat menyedarkan hati-hati yang lalai. Kematian belum lagi saat perpisahan haqiqi, ia hanya perpindahan alam dengan adanya sakaratul maut. Perpisahan haqiqi adalah di syurga atau di neraka nanti. Bayangkan jika ahli yang kita kasihi terpisah, ke neraka atau ke syurga.
13.0] Setiap orang mendapat apa yang diusahakannya. Oleh itu jika ada seorang muslim yang punyai ilmu tertentu, dengan niat Lillaahi, memulakan atau mencipta sesuatu yang memudahkan orang berurusan dengan cepat berkesan , alangkah beruntungnya mendapat pahala mengalir selagi digunakan orang. Contoh terakhir:  Seorang alim meninggal dunia, kemudian kuburnya dijadikan tempat sembahan dan keramat. Orang alim itu tidak berdosa tetapi pencetus yang mula-mula jadikan kubur itu tempat sembahan akan terus mendapat saham dosa (dosa jariah) daripada sunnah sayyiah tetapi andai simati itu sendiri semasa hidupnya yang menganjurkan supaya kuburnya dijadikan tempat sembahan atau keramat, maka simati itu akan mendapat dosa jariah dan disiksa.
14.0] Disarankan juga agar ucapan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin ditukar dan budayakan kepada ucapan sunnah Nabi saw iaitu, "Taqobbalalloohu minna wa ming kum" yang bermaksud "Moga diterima daripada kami dan daripada kamu". Moga bermanafaat dan diberkati Allah.

No comments:

Post a Comment