Tuesday, January 26, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 14-15) Kuliah 17- Tentang Nabi Nuh, Cara hadapi ujian sakit,Tentang Kematian

1.0] Nabi Nuh as merupakan rasul pertama diutus Allah bagi memurnikan aqidah tauhid kerana pada zaman Nabi Adam as dan Nabi Idris as, selepasnya belum ada jenayah aqidah atau penyelewengan aqidah. Kalau ada pun ialah jenayah syariah sebagaimana dengan adanya anak Nabi Adam as yang membunuh saudaranya sendiri.
2.0] Ada pun pada zaman Nabi Nuh as, syirik sudah mula bermaharajalela iaitu syirik besar atau syirik kecil seperti menyembah patung-patung buatan atau tuhan-tuhan selain Allah.
3.0] Rujuk surah Nuh ayat 23 yang bermaksud, "Dan mereka berkata, " Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan juga kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, Suwa', Yagus, Ya'uq dan Nasr".
3.1] Asalnya nama-nama itu ialah nama orang-orang soleh sebelum Nabi Nuh as yang punya ramai pengikut dan sangat berpengaruh. Sepeninggalan mereka, murid-murid mereka merasa kehilangan dan kerinduan. Contohnya sepertilah orang yang kehilangan anak tentu akan menengok gambar anak itu berhari-hari. Iblis bisikkan kepada murid-muridnya supaya buatkan patung untuk mengubat rindu kepada mahaguru yang berjasa. Itulah niat awal mereka, tetapi setelah sekian lama, generasi demi generasi, patung-patung itu bertukar menjadi tempat sembahan mereka pula.
4.0] Nabi Nuh as berdakwah 1,000 tahun untuk memurnikan aqidah kaumnya, iaitu 950 tahun berdakwah secara susah payah namun kaumnya semakin menjauhinya. Kemuncaknya ialah apabila Nabi Nuh as berdoa moga Allah timpakan bencana dan Allah qabulkan doa Nabi Nuh as. Umat yang beriman diselamatkan diatas bahtera manakala yang kufur binasa. Nabi Nuh as sempat berdakwah selama 50 tahun lagi berserta orang-orang yang beriman membina masyarakat baru. Ini bermakna Nabi Nuh as berdakwah selama 1,000 tahun. Oleh itu tentulah umurnya melebihi 1,000 tahun dan ulama berbeza pendapat tentang umur Nabi Nuh as. Ibnu Abbas berkata 1,050 tahun, bermakna Nabi Nuh as dilantik menjadi utusan ketika berumur 50 tahun dan dikuatkan juga dengan pendapat Imam  Sayuti dan Ibnu Abu Qasim. Manakala pendapat Ibnu Hatim ialah 1,020 tahun dan pendapat Imam Ikrimah pula ialah 1,000 tahun. Ibnu Kathir akhirnya menjelaskan bahawa bukan umur Nabi Nuh as yang penting tetapi yang penting ialah dakwahnya.
5.0] Ayat ini ialah ayat tasliah iaitu ayat hiburan kepada Nabi Muhammad saw untuk mendapat rangsangan bagi menghadapi ujian.
6.0] UJIAN bukan tentang lama, panjang-pendek, berat-ringan dan sebagainya tetapi ialah tentang LULUS atau TIDAK LULUS dalam setiap ujian itu. Jika diberi ujian lama dan dosa diampun, itu adalah lebih bagus dari diberi ujian yang sekejap tetapi tidak lulus dan dosa yang tidak terampun.
7.0] Surah Al-Ankabut ayat 14,



8.0] Surah Al-Ankabut ayat 15;



Kalimah banjir besar atau At-Tuufaan diulang dua kali dalam Al-Quran yang menunjukkan sebagai mukjizat dan juga bala. Sepertimana didalam surah Al-A'raf ayat 133. At-Tuufan ialah sebagai mukjizat kepada Nabi Musa as dan sebaliknya adalah sebagai bencana kepada Firaun laknatullah dan kaumnya yang engkar.
9.0] At-Tuufan bermaksud apa saja yang berpusing dan dari situ terbit kalimah Towaf. Angin yang deras dan air yang deras juga apabila berpusing dipanggil At-Tuufaan. Angin yang berpusing akan ada tenaga menarik keatas manakala air yang berpusing akan ada tenaga menarik kebawah. Oleh itu kapal yang sebesar mana pun akan tersedut di dalam pusingan  air yang ganas.
10.0] Banjir besar semasa Nabi Nuh as itu ialah sesuatu yang ajaib sebab berlakunya di padang pasir, tempat jarang-jarang turunnya hujan, dan apabila air yang turun dari langit bertembung dengan air yang keluar dari bumi lalu menyebabkan air itu berpusing. Rujuk surah Hud ayat 44 yang bermakna, "Dan Allah berfirman, " Wahai bumi, telanlah airmu dan wahai langit (hujan) berhentilah". Lalu air surut dan selesailah perintah Allah, maka bahtera pun berlabuh di atas Gunung Judi dan dikatakan; "Binasalah orang-orang zalim". Kejadian yang ajaib ini ialah untuk menunjukkan Qudrat Allah untuk menghancurkan kaum Nabi Nuh as yang zalim. Mereka ibarat berada didalam kolam yang sangat dalam dan berpusing dahsyat, itulah At-Tuufaan.
11.0] Pada awalnya, Allah perintahkan Nabi Nuh as untuk bersedia dengan membuat kapal, tanpa pengalaman, di padang pasir, tetapi semata-mata dengan arahan secara langsung dari Allah, tentunya sangat sukar. Kemudian diarah untuk mengangkut setiap margastua sepasang-sepasang jantinanya dengan keperluan makanan dan kandang berbeza. Sangat sukar dan memakan masa yang lama ditambah dengan ejekan kaumnya yang mengatakannya gila dan sebagainya. Tugas Nabi Nuh as tidak ringan, mengambil masa bertahun-tahun. Sehingga kini, timbullah pula cerita-cerita rekaan yang tidak benar tentang Nabi Nuh as, seperti dikatakan Kayu Koka untuk buat kapal Nabi Nuh as itu punyai barokah untuk dijadikan tasbih dan juga tentang bubur asyura yang ditokok tambah cerita. Kita dinasihatkan supaya tidak membuat cerita yang bukan-bukan tentang Nabi yang suci. Selagi tiada dalil dan hujah yang soheh janganlah terseret dalam segala penipuan tersebut.
12.0] Agama Islam tidak perlu tambahan, tidak perlu tokok tambah walaupun untuk menarik minat orang terhadap Islam. Agama Islam sudah sempurna, cerita-cerita karut-marut itu hukumnya berdosa membuatnya. Rujuk surah Al-Maidah ayat 3 yang menyatakan tentang kesempurnaan Agama Islam.
13.0] Perhatikan dihujung ayat 14 surah Al-Ankabut, yang bermakna, " Sedangkan mereka adalah orang-orang yang zalim". Adalah sangat menakutkan kalimah ini sebenarnya sebab terdapat satu isyarat yang sangat halus daripada Allah SWT, bahawasanya Allah SWT tidak akan menyiksa hambaNya semata-mata kerana hambaNya itu zalim atau berdosa tetapi ianya adalah kerana mereka berterusan didalam berdosa dan kezaliman. Allah Maha Tahu bahawa manusia ada potensi untuk berdosa, oleh itu kalau terlanjur buat dosa , berhentilah dan bersegeralah bertaubat.
14.0] Apa yang paling menakutkan ialah apabila musibah menimpa, contohnya apabila berlakunya tuufan atau bencana alam atau tsunami. Dimana saat seseorang itu ditimpa musibah yang tidak dijangka, adakah dia berada dalam keadaan toyyib atau baik, atau dalam keadaan berdosa sebagai mujrim.
15.0] Peristiwa Tsunami Acheh boleh dijadikan contoh, dimana berlaku keadaan kematian yang berbeza. Itu mungkin sebagai tanda Allah menunjukkan kemurkaan atau kasihsayang-Nya. Mungkin ada yang mati ketika sedang solat, ketika sedang wirid atau ketika sedang menangis berdoa atau ketika sedang menyembah patung atau ketika sedang meraikan Krismas, atau ketika sedang melakukan maksiat dan sebagainya. Bukan musibah yang menimpa yang ditakutkan tetapi keadaan ketika kita mati itu yang penting.
16.0] Nabi Yunus as ditimpakan musibah, sebagai teguran dari Allah dengan ditelan oleh ikan Nun dan Nabi Yunus as tahu yang dia sedang diuji oleh Allah kerana dia telah melakukan kesilapan. Kematian baginya boleh datang bila-bila masa dengan terperangkap didalam perut ikan sebegitu rupa. Yang ditakuti oleh Nabi Yunus as ialah jika ajal datang menjemput dengan dosa-dosanya yang tidak diampunkan. Nabi Yunus as tidak memohon untuk dikeluarkan dari perut ikan tetapi merayu untuk mendapatkan keampunan Allah. Dari pandangan Al-Quran, mati dalam keadaan musibah sakit, dengan dosa terampun adalah lebih baik dari mati dalam keadaan sihat wal'afiat dengan dosa yang tidak terampun.
17.0] Selingan dari ustaz, ada satu contoh dalam kem motivasi yang agak bercanggah dengan pegangan dalam Agama dimana dalam Agama kita berpegang dengan hakikat kalimah la hawla wala quwwata illa billah, yang bermaksud tidak ada daya upaya melainkan daya upaya Allah. Manakala di kem motivasi disarankan untuk menonjolkan kita boleh, meletakkan daya upaya kepada diri yang sebenarnya lemah.
18.0] Satu soalan yang perlu dijawab dengan jujur jika kita sakit atau kawan kita yang sakit, iaitu apa yang biasa kita doakan atau minta kawan tolong doakan buat kita? Kita selalunya mohon agar kawan kita itu sembuh atau mohon orang lain untuk tolong doakan bagi kesembuhan kita yang segera, adalah tidak salah tetapi sebenarnya ianya kurang tepat kerana sebenarnya apabila Allah timpakan kita sakit, bukanlah Allah ingin sangat untuk mendera kita tetapi mengandungi hikmah yang banyak sekali.
19.0] Nabi saw pernah sakit. Hadith soheh daripada Bukhari Muslim riwayat Ibnu Mas'ud menyatakan, "Ketika Nabi saw sakit dan Baginda yu'aku (mengerang). Kata Ibnu Mas'ud, "Ya Rasulullah, engkau mengerang, tentu sakit teramat sangat". Jawab Rasulullah saw, "Ya, aku sangat sakit, aku rasa seperti dua orang daripada kamu sakit". Kata Ibnu Mas'ud lagi, "Ya Rasulullah, adakah ini bermakna engkau akan mendapat dua kali ganda ganjaran? Jawab Rasulullah saw, "Ya, aku akan mendapat ganjaran dua kali ganda".
20.0] Tidaklah seseorang muslim yang ditimpa musibah samada berat atau kecil atau lama atau sekejap, sehinggakan walaupun hanya dicucuk dengan duri atau yang lebih ringan dari itu, melainkan Allah akan menghapuskan dosa kesalahannya sebagaimana gugurnya daun-daun dari pokok dimusim luruh.
21.0] Sakit seorang mukmin samada sebagai ujian kesabaran juga adalah sebagai penghapus dosa dan jika dapat bersabar selama penyakit itu dideritai, dosa-dosanya akan terhapus, lalu akan meningkatlah martabatnya kemaqam tertentu. Allah Maha Tahu berapa lama kita dapat bersabar, oleh itu berdoalah sentiasa kepada Allah semoga dikabulkan dengan berdoa, "Ya Allah berilah hambaMu ini kesabaran untuk menghadapi ujian sakit ini". Jangan pula tersilap minta, jangan segera minta untuk dapatkan kesembuhan tetapi hendaklah minta Allah berikan sifat sabar dahulu.
22.0] Surah Al-Israa ayat 11 yang bermaksud, "Dan manusia (seringkali ) (cepat) berdoa untuk kejahatan sebagaimana (biasanya) mereka berdoa untuk kebaikan. Dan manusia memang bersifat terburu-buru". Dalam realiti tiada orang yang minta keburukan tetapi lantaran tidak tahu haqiqat, boleh jadi atau pasti atau seringkali, apa yang kita minta kepada Allah ialah benda yang tidak baik, berdoa dengan menangis-nangis. Allah berkata, "Kenapa minta yang buruk, masa yang kamu perlukan untuk hadapi ujian ini telah ditetapkan, kenapa cepat sangat meminta untuk disembuhkan?" Puncanya ialah kerana manusia bersifat tergesa-gesa dan tidak sabar-sabar.


23.0] Terampun dosa adalah lebih baik. Seseorang yang mati dalam keampunan Allah adalah lebih baik dari mati dalam kesembuhan sebelum dimaafkan Allah. Adalah sangat rugi jika kita meminta supaya segera disembuhkan. Bersabar dan mohonlah kemaafan Allah.
24.0] Dari Ibnu Abbas, Nabi saw telah pergi menziarahi sahabat yang sakit, iaitu seorang Arab Badui. Nabi saw mengucapkan "La baksa, thohuur, In shaa Allah " yang bermakna "Tidak mengapa, suci (bersih), dengan Kehendak Allah". Nabi tidak mendoakan untuk sembuh. Penyakit itu pembersih dosa dan sepatutnya pula dijawab oleh orang yang sakit itu dengan ucapan "Terimakasih kerana doakan saya diampuni Allah dosa-dosa saya."
25.0] Ada 4 perkara penting tentang kematian iaitu;
i) Bila akan mati, tidak perlu dirisaukan.
ii) Dimana mati, tidak satu diri pun tahu dimana dia akan mati. Semuanya adalah urusan  Allah.
iii) Cara kematian, ada bermacam-macam cara kematian, punca dan sebab kematian. Sedangkan kematian itu sendiri adalah hanya satu. Kita tidak boleh sengaja ingin matikan diri dengan bertindak menggantungkan diri atau sebagainya. Sebaliknya apabila kita sakit kita perlu berubat dan selebihnya serahkan kepada Kehendak Allah.


iv) Keadaan seseorang ketika mati samada dalam suul khootimah  atau husnul khootimah, zoolimun atau toyyibin, semua adalah dalam pilihan  kita. Walau dimana atau bila kita akan mati adalah diluar daya kita, tetapi cara bagaimana keadaan ketika mati adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Contohnya orang yang zalim, tetap tidak beruntung jika sekalipun meninggal malam Jummat, akhir 10 Romadhon, di Masjidil Haram, jika dengan cara mati terpijak ketika sengaja menjatuhkan diri dengan niat supaya dapat mati di Masjidil Haram atau mungkin ketika sedang bersyirik kepada Allah. Contohnya seseorang yang mati ketika sedang menggosok Hijr Ismail dengan tuala yang dibawa dengan keyakinan bahawa tuala itu nanti apabila dibawa balik dan direndam ke dalam air minum akan mendapatkan barokah, lantas ia terjatuh, matinya adalah dalam syirik dengan suul khootimah walaupun mati di tempat baik. Na'uzubillah.
26.0] Sabar itu pada permulaan terkena musibah. Sabar tidak boleh diqodho. Masa untuk bersabar ialah sepanjang berlaku musibah itu. Janganlah berdoa untuk mendapat sabar tetapi tidak mahu diuji. Bayangkan ketika musibah melanda yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang sesuai dengan Firman Allah dalam surah Aa-li Imran ayat 102 yang bermakna, "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam iaitu berserah diri kepada Allah". Bunyinya agak pelik, ajal ditangan Allah, kenapa pula mesti berserah diri? Maksudnya ialah bahawa Allah tidak Redho untuk menerima hamba-Nya ketika ajal menjemput didalam keadaan belum berserah diri dan belum bersedia iaitu ketika hamba-Nya masih berdosa.
27.0] Salah satu cara tanda Allah sayang ialah dengan menimpakan musibah kepada hamba-Nya itu. Oleh itu jangan terlalu melihat kepada musibah, tetapi hendaklah melihat bahawa Allah memberi musibah sebagai peluang untuk mengampunkan dosa-dosa dengan bersabar. Dengan tidak perlu pergi ke Mekah berulang-ulang, tidak perlu solat malam, tidak perlu berpuasa, tetapi hanya perlu bersabar menghadapi musibah penyakit. Sebenarnya adalah dalam keadaan selesa, terbaring dihospital dengan segala keperluan kita diurusi, dan apabila Allah kehendaki kita sembuh, kita akan sembuh. Jangan mengeluh, kerugian besar jika melepaskan peluang keampunan ini. Umat Nabi Muhammad saw purata umurnya hanya 60 tahun ke 70 tahun. Mungkin terasa pendek, tambahan jika banyak lagi keinginan, lantas tergesa-gesa minta Allah sembuhkan cepat.
28.0] Kalimah akhoza dalam kebanyakan keadaan dalam Al-Quran diguna pakai dalam konteks keadaan azab atau menyeksa terhadap orang yang degil, derhaka atau menentang. Sebagai tambahan PR ( pekerjaan rumah), kalimah  akhoza boleh dirujuk dalam surah-surah berikut iaitu:
a) Aa-Li-Imran ayat 11
b) Al-Anfal ayat 52
c) Hud ayat 102
d) An-Nahl ayat 45-47
e) An-Nahl ayat 113
f) To-Ha ayat 39
g) As-Syu'araa' ayat 158
h) As-Syu'araa' ayat 189
i) Al-Ankabut ayat 14
j) Yaasin ayat 49
k) Ghafir ayat 22
l) Al-Haqqah ayat10
m) An-Naazi'at ayat 25


29.0] Memahami isi Al-Quran hendaklah dengan menggunakan kalimah yang digunakan didalam Al-Quran sendiri pada tempat dan situasi berbeza. Contohnya, kenapa guna kalimah Allah pada satu tempat manakala ditempat lain guna kalimah Ar-Rahman? Sebenarnya ada pengajaran yang didapati dalam lafaz berbeza dalam Al-Quran. Masih banyak yang perlu dipelajari dari Al-Quran. Moga bermanafaat dan diberkati Allah.













No comments:

Post a Comment